EMPAT kluster baharu dikesan hari ini dengan masing-masing dua kluster berasal dari Sabah dan Pulau Pinang.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata kluster tersebut dikenali sebagai Istimewa dan Alila dari Sabah dan Assumption dan Rajawali dari Pulau Pinang.
“Bagi kluster Istimewa di Sandakan, Sabah, kes indeks dikesan positif pada 20 Oktober lalu dan hasil pengesanan kontak mendapati 15 lagi individu dijangkiti Covid-19.
“Kesemua pesakit dihantar ke Hospital Duchess of Kent,” katanya.
Katanya seramai 54 orang telah menjalani ujian saringan dengan 16 didapati positif, 27 negatif dan 11 lagi menunggu keputusa.
Bagi kluster Alila dari Kota Kinabalu, kes indeks dikesan positif pada 5 Oktober dan menjangkit 22 individu lain yang kini mendapatkan rawatan di Hospital Queen Elizabeth.
“Setakat hari ini, 317 individu telah diuji. 23 kes dikesan positif dengan dua kes baharu manakala 294 lagi masih menunggu keputusan.
“Kluster Assumption melibatkan daerah Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah dan juga Kulim di Kedah. Sebanyak 10 kes dikesan dari kluster ini.
“Bagi kluster Rajawali di daerah timur laut dan barat daya Pulau Pinang, 10 kes telah dikesan.
“Sebanyak 90 orang telah diuji dan 15 daripadanya bebas wabak itu,” kata Dr Noor Hisham.
Sementara itu, dua kluster iaitu kluster Bah Lunas di Kulim dan Baling di Kedah, dan kluster Bah Bemban di Dungun Terengganu dan Kota Kinabalu telah berakhir. – 14 November, 2020.
Komen