KEMENTERIAN Kesihatan nafi menggunakan aplikasi MySejahtera untuk mengesan penduduk Medan 88 yang lari daripada Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dikuatkuasakan di Bandar Baru Salak Tinggi.
Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata aplikasi berkenaan yang digunakan untuk menjalankan pengesanan kontak apabila terdapat kes positif Covid-19.
“Tidak benar kita gunakan aplikasi itu untuk kesan mereka yang lari di Salak Tinggi. Aplikasi ini milik Kementerian Kesihatan.
“Kementerian hanya akan gunakan aplikasi ini sekiranya terdapat kes positif dan data dikumpul melalui aplikasi ini akan membantu pengesanan kontak,” katanya.
Dr Noor Hisham menegaskan kementeriannya akan melindungi privasi pengguna dan hanya menggunakan aplikasi itu bila perlu.
Semalam terdapat laporan yang menyatakan polis menggunakan aplikasi MySejahtera untuk mengesan kira-kira 400 penduduk Medan 88 yang dikatakan lari dari kawasan berkenaan sebelum PKPD dikuatkuasakan.
PKPD di Medan 88 bermula Khamis dan akan diteruskan sehingga 25 November melibatkan 88 unit rumah kedai, 284 premis dan 800 penduduk.
Dr Noor Hisham turut menggesa 400 penduduk yang hilang dari Medan 88 untuk tampil dan menjalani ujian saringan Covid-19. – 13 November, 2020.
Komen