SARAWAK melaporkan satu lagi kluster baharu Covid-19 – kluster Abell – di bandaraya Kuching hari ini menjadikan jumlah kluster aktif di negeri itu kepada enam.
10 daripada 13 kes positif baharu yang dikesan di negeri itu hari ini adalah daripada kluster baharu berkenaan, kata jawatankuasa pengurusan bencana pada taklimat harian pandemik.
10 kes berkenaan kebanyakannya melibatkan kanak-kanak dari satu keluarga.
Kluster ini merangkumi Pending dan Padungan, sektor lama bandaraya itu.
Jawatankuasa berkenaan berkata, setakat tengah hari ini 14 individu dijangkiti oleh kes indeks yang disahkan positif pada Selasa. Tiga lagi disahkan positif pada Rabu dan Khamis.
Katanya sejak pengesanan kes itu, 70 individu yang merupakan kontak rapat dengan kes indeks tampil dan ujian saringan mendapati 13 adalah negatif manakala 43 lagi masih menunggu keputusan.
Kesemua mereka dimasukkan ke hospital umum Sarawak untuk rawatan.
Kluster Wisma Saberkas turut merekodkan kes baharu menjadikan jumlah kes bagi kumpulan itu 42.
Setakat ini, Jabatan Kesihatan telah menyaring 1,245 orang yang ada kontak dengan mangsa yang mana 1,121 disahkan negatif.
82 individu lagi masih menunggu keputusan. – 13 November, 2020.
Komen