SEKUMPULAN NGO Melayu membuat laporan polis bagi menuntut Ahli Parlimen Bintulu Tiong King Sing meminta maaf dan menarik balik kenyataan menghina Dr Noor Hisham Abdullah.
Pengerusi Skuad Prihatin Kuala Lumpur (SPKL) Mohd Noor Ali Akbar berkata mereka kesal kerana Tiong tidak menghormati ketua pengarah kesihatan itu yang dianggap wira negara.
“Apa yang dikatakan ahli Parlimen Bintulu itu dituju kepada KP Kesihatan yang dianggap wira negara dan diktiraf WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia).
“Jadi kita minta YB ini tarik balik cemuhan ke atas Dr Noor Hisham di Parlimen,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau yang mewakili 22 NGO itu juga kesal kerana Tiong menyerang kakitangan awam yang hanya menjalankan tugas.
Jelasnya, Tiong sepatutnya bertanya kepada menteri atau timbalan menteri di Parlimen sekiranya ingin mengkritik atau mendapat penjelasan, dan bukan menyerang penjawat awam.
“Dan kita minta ahli politik lain dalam hujah mereka janganlah mencemuh kakitangan awam kerana ia patut dituju kepada menteri atau timbalannya” katanya.
Mohd Noor juga mendakwa ucapan Tiong tidak dilindungi peruntukan keistimewaan di Parlimen kerana serangan itu melibatkan penjawat awam.
“Sebagai bekas pesara kerajaan kita tahu undang-undang ini tapi ada dua perkara dalam Dewan Rakyat tidak benarkan berlaku iaitu melibatkan Yang di-Pertuan Agong dan kakitangan awam, jadi kita nak nyatakan ketidakpuasan hati.
“Kedua kita mahu beliau tarik balik kenyataan di Parlimen kerana ia dibuat di Parlimen. Kita cadang tuju soalan itu pada menteri atau timbalan menteri dalam Dewan Rakyat.”
Pada masa sama beliau turut kesal kerana melihat menteri atau timbalan menteri kesihatan hanya mendiamkan diri dan tidak mempertahankan Dr Noor Hisham.
Ia rentetan daripada kenyataan Tiong yang mempersoalkan sekiranya Dr Noor Hisham “takut mati” kerana tidak melawat dan menilai kawasan bencana Covid-19 di Sabah.
Dalam ucapan di Dewan Rakyat itu, Tiong mendakwa Dr Noor Hisham tidak melakukan apa-apa selain membaca kenyataan pada sidang media secara langsung.
Dakwanya sidang media itu boleh dibuat oleh pembantu pejabat dan Dr Noor Hisham sebaliknya boleh melawat kawasan terjejas di Sabah.
Tiong seterusnya mendakwa Dr Noor Hisham hanya berminat meraih publisiti supaya dilantik penjadi setiausaha WHO.
“Ketua pengarah tiap-tiap hari buat berita saja, bikin apa? Office boy pun boleh baca. Kenapa dia tak turun padang, macam di Kota Kinabalu sekarang begitu teruk.
“Kenapa tak turun lawat tiap-tiap hospital. Jangan hantar saja (barisan depan). Oh orang itu tak takut mati, tapi KP takut mati… Timbalan pun tak pergi.
“Tak usahlah hari-hari buat publisiti. Sekarang dengar beliau nak jadi setiausaha WHO, memang tak layak,” katanya.
Kenyataan beliau itu mencetuskan kekecohan di Dewan Rakyat dan menyebabkan beberapa wakil pembangkang diusir keluar Dewan kerana mempertahankan Dr Noor Hisham.
Tiong juga enggan menarik balik kenyataannya itu walau diberi peluang oleh speaker. – 13 November, 2020.
Komen