PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin berkemungkinan akan meminta pilihan raya diadakan tahun depan selepas gagal mengisytiharkan darurat untuk melindungi kerajaan mereka, kata Lim Guan Eng hari ini.
“Kita perlu bersiap sedia sama ada kita suka atau tidak kerana sudah jelas kerajaan akan mengadakan pilihan raya tahun depan.
“Sekiranya mereka tidak dapat mengisytiharkan darurat, saya rasa mereka akan mengadakan pilihan raya tahun depan,” kata setiausaha agung DAP itu pada program “Breakfast Grille” di stesen radio BFM pagi tadi.
Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah Pakatan Harapan sudah bersedia untuk pilihan raya umum.
Muhyiddin telah membuat permintaan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mengisytiharkan darurat pada Oktober, kononnya untuk mengekang penyebaran Covid-19 dengan menangguhkan Pilihanraya Kecil (PRK) Batu Sapi pada 5 Disember dan pilihan raya Sarawak yang dijadualkan pada Ogos depan.
Bagaimanapun pengkritik perdana menteri melihat cadangan darurat itu sebagai usaha untuk menyelamatkan kerajaan PN.
Yang di-Pertuan Agong tidak bersetuju dengan permohonan Muhyiddin Yassin untuk pengisytiharan darurat dan baginda yakin dengan kemampuan kerajaan ketika ini untuk memerangi wabak Covid-19.
Kerajaan majoriti tipis Muhyiddin menjadi goyah setelah pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim mengaku mendapat sokongan majoriti pada September.
Ketika ditanya mengenai perkara ini Lim berkata mereka terkejut dengan pengumuman Anwar.
“Kami terkejut ketika dia membuat pengumuman kerana hanya melibatkan pemimpin PKR.
“Kami telah memberikan pandangan kami dan pada masa itu kami sibuk berkempen di Sabah. Oleh itu kami tidak tahu apa yang berlaku,” katanya.
Pada 23 September Anwar berkata bahawa beliau mempunyai majoriti untuk membentuk kerajaan persekutuan sambil menambah bahawa kerajaan PN telah jatuh.
“Alhamdulillah kini saya telah dapat sokongan yang kukuh dan meyakinkan daripada Ahli-ahli Parlimen untuk saya persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong.
“Dengan sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan, bermakna kerajaan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah jatuh,” katanya.
Lim juga berkata DAP tetap tegas untuk tidak bekerjasama dengan Umno.
“Kami tidak akan bekerjasama dengan Umno untuk membentuk kerajaan. Tidak mungkin bekerjasama dengan Umno kerana kleptokrasi mereka,” katanya.
Lim juga berkata dalam mesyuarat PH Anwar menegaskan bahawa beliau akan bekerjasama dengan ahli Parlimen dari Umno secara individu dan bukan dengan parti itu sendiri.
“Kita mungkin perlu mengeluarkan kenyataan untuk menjelaskannya,” katanya. – 13 November, 2020.
Komen