MAHKAMAH Tinggi hari ini membenarkan permohonan Majlis Peguam Malaysia untuk mengemukakan lima soalan Perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan mengenai lanjutan penggal kontroversi Ketua Hakim Negara Md Raus Sharif dan Presiden Mahkamah Rayuan Zulkefli Ahmad Makinudin.
Majlis Peguam telah memfailkan tindakan undang-undang untuk mendapatkan pengisytiharan yang pelantikan Raus dan Zulkefli adalah tidak berperlembagaan dan tidak sah kerana kedua-duanya melepasti umur persaraan mandatori 66 tahun, enam bulan pada 3 Ogos dan 27 September.
Di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, Hakim Azizah Nawawi membenarkan permohonan Majlis Peguam untuk mengemukakan soalan Perlembagaan kepada Mahkamah Persekutuan.
Berikut adalah soalannya:
* Sama ada di bawah Perkara 122 (1A) Perlembagaan Persekutuan, hakim tambahan boleh dilantik atas nasihat ketua hakim, nasihat mana yang akan berkuatkuasa selepas persaraannya itu?
* Sama ada di bawah Perkara 122B (2) Perlembagaan Persekutuan, presiden Mahkamah Rayuan boleh dilantik susulan rundingan perdana menteri dengan ketua hakim, pelantikan mana akan berkuatkuasa selepas persaraan ketua hakim tersebut?
* Sama ada di bawah Perkara 122 (1A), dibaca bersama Perkara 122B (1), 122B (2) dan Perkara 125 (1) Perlembagaan Persekutuan, hakim tambahan boleh dilantik sebagai ketua hakim atau presiden Mahkamah Rayuan?
* Sama ada perlantikan hakim oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Perkara 122 (1A) dan 122B (1) Perlembagaan Persekutuan adalah wajar?
* Sama ada perlantikan hakim tambahan dan selepas itu ketua hakim dan presiden Mahkamah Rayuan diumumkan semasa mereka berkhidmat sebagai hakim tetapi berkuatkuasa selepas persaraan melanggar Artikel 122 (1), 122 (1A) dan 125 (1) Perlembagaan Persekutuan?
Susulan resolusi yang diterima pada Mesyuarat Agung Luar Biasa pada 3 Ogos, Majlis Peguam memfailkan tindakan undang-undang terhadap Raus, Zulkefli dan bekas ketua hakim negara Arifin Zakaria.
Antara lain, ia meminta pengisytiharan pelantikan semula Raus dan Zulkefli sebagai hakim tambahan adalah tidak berpelembagaan dan tidak sah. Ia juga meminta penyingkiran Raus dan Sharif daripada jawatan masing-masing.
Majlis Peguam hari ini diwakili oleh bekas presiden Steven Thiru dan Ambiga Sreenavasan, manakala Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan dan Shamsul Bolhassan bagi pihak Jabatan Peguam Negara.
Presiden Majlis Peguam, George Varghese turut hadir di mahkamah.
Pengurusan kes seterusnya ditetapkan pada 3 Januari. – 19 Disember, 2017.
Komen