PM Thailand mahu vaksin Covid-19 jadi ‘keperluan awam global’


Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha pada Sidang Kemuncak Asean ke-37 hari ini berkata vaskin Covid-19 diharap dapat memenuhi "keperluan awam global" apabila tersedia kelak. – Gambar EPA, 12 November, 2020.

VAKSIN Covid-19, apabila tersedia kelak, diharap dapat memenuhi “keperluan awam global”, mampu dimiliki dan diakses semua, kata Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha pada Sidang Kemuncak Asean ke-37 hari ini.

Prayuth, merangkap Menteri Pertahanan, menghadiri sidang kemuncak dwitahunan yang diadakan secara maya dari Bangkok.

 Beliau berkata Thailand telah bekerjasama dengan pelbagai sektor dalam pembangunan vaksin Covid-19 dan ubat-ubatan anti-virus bagi rawatan Covid-19, dan sedia berkongsi kejayaan tersebut dengan negara-negara anggota Asean.

“Thailand menyokong penubuhan Rizab Bekalan Perubatan Serantau Asean bagi Kecemasan Kesihatan Awam dan menunjukkan komitmen untuk memberikan sumbangan awal ubat-ubatan dan persediaan perubatan yang diperlukan,” katanya.

Selain itu, Prayuth berkata negara-negara anggota Asean harus bekerjasama bagi memelihara kestabilan serantau untuk mewujudkan persekitaran yang kondusif dalam menangani pandemik dan pemulihan ekonomi Covid-19.

“Dalam pertemuan yang akan datang dengan rakan-rakan dialog beberapa hari lagi, negara-negara anggota Asean harus bersatu dalam menyampaikan mesej kepada kuasa-kuasa besar tentang perlunya mencari jalan bersama dan mengetepikan perbezaan untuk menghindari perselisihan di rantau ini dan mempromosi kerjasama menang-menang.

Prayuth berkata Thailand juga menyokong penubuhan Koridor Perjalanan Asean dengan mengambil kira langkah kesihatan awam yang berhemah, untuk memudahkan perjalanan perniagaan penting di Asean dan memulihkan aktiviti ekonomi di rantau ini. – Bernama, 12 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen