Kluster aktif punca peningkatan kes Covid-19 di Negeri Sembilan, kata KP Kesihatan


Ravin Palanisamy

Sebanyak 240 kes baharu Covid-19 yang dilaporkan di Negeri Sembilan hari ini, 236 adalah kes dari kluster sedia ada dan kluster Cergas di Seremban melibatkan sebuah kilang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 November, 2020.

KETUA Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata punca jumlah kes Covid-19 yang tinggi di Negeri Sembilan hari ini adalah disebabkan oleh kluster aktif.

“Daripada 240 kes baharu yang dilaporkan di Negeri Sembilan hari ini, 236 adalah kes dari kluster sedia ada dan kluster Cergas di Seremban melibatkan sebuah kilang.

“Kawasan ini terletak berdekatan dengan kluster Sofi yang dikesan sebelum ini yang melibatkan sekolah tahfiz. Jadi ada kemungkinan jangkitan berlaku di kawasan tersebut.

“Kami belum meletakkan kawasan itu di bawah PKPB kerana kami telah mengenal pasti tempat itu dan syarikat telah berhenti beroperasi untuk sementara waktu serta kami secara aktif telah melakukan pemeriksaan, pembasmian kuman dan sanitasi di kawasan itu,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini. 

Noor Hisham berkata bahawa selain melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), kementerian tidak akan teragak-agak untuk mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan Dipertingkatkan (PKPD) di kawasan berisiko tinggi.

Beliau berkata penilaian risiko yang berterusan sedang dilakukan untuk semua negeri dan mereka akan mengkaji suatu kawasan sebelum menguatkuasakan PKPD.

Dalam menyatakan keprihatinan terhadap peningkatan kes di Lembah Klang dan Negeri Sembilan, Noor Hisham mengakui bahawa sukar untuk mengawal pergerakan orang ramai di tempat-tempat ini.

Memetik Sabah sebagai contoh beliau berkata bahawa rakyat di negeri itu akan diperiksa ketika mereka keluar tetapi mengakui tidak mungkin melakukannya di Semenanjung.

“Sekiranya Sabah adalah zon merah, mereka yang keluar akan disaring dan memastikan pergerakan mereka terkawal.

“Tetapi jika kita melihat zon merah di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya, kita tidak dapat mengawal pergerakan hampir 6 juta orang. Inilah kebimbangan kita.

“Sekiranya mereka dijangkiti dan mereka pergi ke zon hijau lain, mungkin mereka akan membawa bersama jangkitan. Jadi itulah sebabnya kami menguatkuasakan PKPB,” katanya.

Menurutnya PKPB adalah tindakan proaktif dan awal untuk mengawal penyebaran jangkitan ke zon hijau lain.

“Dengan PKPB, kita berjaya mengurangkan jumlah zon hijau yang bertukar menjadi zon oren atau merah,” katanya. – 12 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen