
KERAJAAN bercadang memperkenal semula undang-undang untuk menyekat berita palsu sekiranya ada keperluan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan.
Menteri hal ehwal undang-undang itu berkata bagi menangani berita palsu termasuk yang menyinggung kedudukan Raja-Raja Melayu serta hak yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.
Katanya usaha itu dipertimbang kerana kerana Akta Antiberita Tidak Benar 2018 sudahpun dimansuhkan sewaktu pentadbiran Pakatan Harapan (PH).
“... Tindakan tegas berhubung perkara ini termasuk mengadakan undang-undang berkaitan antiberita tidak benar sekiranya perlu,” katanya dalam satu jawapan bertulis di Dewan Rakyat.
Tambahnya, kerajaan kini sedang berbincang dengan semua pihak terbabit untuk meneliti pendekatan mengekang penularan berita tidak benar.
Takiyuddin bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada akan memperkenal akta baharu atau peruntukan khusus dalam undang-undang sedia ada.
Katanya, kes berita palsu kini ditangani Kanun Keseksaan (Akta 574), Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Rang Undang-undang Antiberita Tidak Benar 2018 (Akta 803) diluluskan sewaktu pentadbiran Barisan Nasional dan dimansuhkan apabila PH mengambil alih.
Pemansuhan itu diwartakan pada 30 Januari lalu, katanya ketika menjawab soalan Abdul Azeez Rahim (BN-Baling). – 12 November, 2020.
Komen