Banyak nyawa jadi korban kerana tamak kuasa, kata Dr Mahathir


Diyana Ibrahim Ragananthini Vethasalam

Malaysia menyaksikan lonjakan drastik kes Covid-19 susulan pilihan raya Sabah pada September lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 November, 2020.

BANYAK nyawa menjadi korban kerana ketamakan pihak tertentu untuk berkuasa, kata Dr Mahathir Mohamad hari ini ketika menggambarkan pilihan raya Sabah pada September lalu.

“Masih ada yang ingin mengadakan PRU supaya dapat rebut kuasa. Ingatlah berapa ramai pula yang akan mati kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) ingin jatuhkan kerajaan Sabah.

“Ya. Rebutan di Sabah berjaya. Tetapi kosnya amat tinggi. Banyak nyawa terkorban kerana ketamakan kuasa,” kata ahli Parlimen Langkawi itu kepada Dewan Rakyat hari ini ketika membahaskan Belanjawan 2021.

Malaysia menyaksikan lonjakan drastik kes Covid-19 susulan pilihan raya Sabah yang menyaksikan PN berjaya merebut kuasa daripada kerajaan negeri pimpinan Warisan.

Menurutnya lagi, kerajaan terlalu tamak mempertahankan kedudukan sehingga menjejas tumpuan untuk menangani penularan pandemik Covid-19.

“Hasilnya ialah pembaziran masa dan wang untuk merebut kuasa. Kita lihat pembaziran ini di Sabah,” kata Dr Mahathir.

Beliau juga tidak yakin kerajaan Perikatan Nasional mampu menangani wabak Covid-19.

Dr Mahathir berkata jika Belanjawan 2021 tidak mendapat sokongan ahli Parlimen, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan hilang majoriti dan perlu meletak jawatan, dan seterusnya akan sekali lagi mencetus krisis politik. – 12 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen