Dr Mahathir dan Pejuang tangguh sokong Belanjawan 2021


Diyana Ibrahim Ragananthini Vethasalam

Pengerusi Pejuang Dr Mahathir Mohamad berkata Belanjawan 2021 tidak memperuntukan bantuan yang cukup dan menyeluruh kepada rakyat yang terjejas akibat Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 November, 2020.

EMPAT ahli Parlimen Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) menangguhkan keputusan sama ada menyokong atau tidak Belanjawan 2021, kata Dr Mahathir Mohamad.

“Saya reserve diri saya dan parti saya untuk menyokong atau tidak Belanjawan 2021 kerajaan Perikatan Nasional (PN) ini. 

“Saya harap cadangan yang bernas oleh dewan ini diberi tempat dalam Belanjawan 2021,” katanya semasa membahas cadangan belanjawan kerajaan itu di Dewan Rakyat hari ini.

Diminta menjelaskan pendirian itu, Dr Mahathir dalam sidang media selepas perbahasannya berkata, pihaknya menangguhkan keputusan mereka buat masa ini kerana sesi perbahasan Belanjawan 2021 masih berjalan.

“Saya yakin ada cadangan yang bernas yang mungkin boleh dimasukkan ke dalam belanjawan ini. 

“Kalau cadangan ini diterima dan jadi sebahagian daripada belanjawan ini, kita boleh sokong. Tetapi dalam keadaan sekarang ini, kita belum yakin belanjawan ini boleh membantukan usaha untuk memulih ekonomi,” katanya.

Dr Mahathir adalah pengerusi pengasas parti yang sedang menunggu kelulusan pendaftaran daripada Pendaftar Pertubuhan. 

Selain Dr Mahathir yang mewakili kawasan Parlimen Langkawi, Pejuang mempunyai tiga lagi wakil di Dewan Rakyat iaitu Mukhriz Mahathir (Jerlun), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Shahruddin Salleh (Sri Gading). 

Mereka kini dianggap wakil rakyat bebas, selepas tersingkir daripada Bersatu kerana tidak menyokong kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang juga presiden parti.

Menurut Dr Mahathir, Belanjawan 2021 tidak memperuntukan bantuan yang cukup dan menyeluruh kepada rakyat yang terjejas akibat Covid-19.

Bekas perdana menteri berkata kerajaan sepatutnya mengurangkan atau menangguhkan cadangan perbelanjaan untuk pembangunan.

Dana yang dijimatkan itu sebaliknya boleh diguna untuk mengurangkan kesan tekanan yang dirasai oleh kebanyakan rakyat sekarang, jelasnya. 

Sementara itu, pada sidang media selepas perbahasan Dr Mahathir berkata beliau tidak yakin Belanjawan 2021 mampu memulihkan ekonomi yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Beliau dan partinya bersedia untuk menyokong belanjawan jika beberapa cadangan bernas yang dikemukakan di Dewan Rakyat diterima.

“Saya tidak sebut syarat-syarat tertentu. Perbahasan belum habis dan saya hendak dengar lebih banyak cadangan,” katanya.

Berkenaan cadangan melanjutkan moratorium pinjaman bank, Dr Mahathir berkata perkara itu lebih baik diputuskan pihak bank.

“Ini tidak melibatkan duit kerajaan, kerana bukan duit kerajaan yang tidak dibayar. Duit bank. Kalau bank fikir ia baik untuk negara, maka mereka perlu lanjutkan moratorium.” – 12 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen