
KERAJAAN perlu memperluas ujian saringan Covid-19 untuk membolehkan lebih ramai rakyat bekerja dan membolehkan ekonomi pulih, kata Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad.
Bekas perdana menteri itu berkata ia perlu diutamakan berbanding kuarantin selama dua minggu dan penutupan kawasan melalui perintah kawalan pergerakan.
Katanya penutupan ekonomi itu menyebabkan ramai individu tidak dapat bekerja dan mengurangkan produktiviti yang seterusnya akan memberi kesan ekonomi.
“Ekonomi negara akan merosot. Sesungguhnya lebih ramai orang yang sihat dikuarantin daripada mereka yang sudah dijangkiti.
“Apabila perintah berkurung diadakan lebih ramai mereka yang sihat menjadi tidak produktif.
“Sebaliknya jika kita dapat tentukan melalui ujian bahawa ia tidak dijangkiti, ia boleh ikuti kehendak SOP tetapi dapat melancong atau bekerja. Ini akan menyumbang kepada pemulihan ekonomi.”
Dalam ucapan semasa membahaskan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat itu, Dr Mahathir mengakui kos ujian massa Covid-19 mahal tapi kerajaan boleh membantu mengurangkan kos.
Dengan langkah itu kerajaan akan dapat pulangan apabila sekurang-kurangnya separuh daripada sumbangan mereka yang sihat bekerja, tambahnya.
Katanya lagi, kawalan pergerakan juga sepatutnya hanya dihadkan kepada kluster dan di sekitar sahaja.
Tambahnya biarpun ada risiko jangkitan namun ia boleh ditangani segera dengan mengadakan ujian saringan lebih kerap.
“Mungkin sukar dikawal tetapi perintah berkurung harus terhad pada kluster dan sekelilingnya sahaja. Di luar, mereka yang didapati sihat setelah diuji, tidak perlu dikurung dengan MCO.
“Ya. Memang ada kemungkinan yang sihat dijangkiti semasa berjauhan dari kluster, semasa bekerja atau melancong.
“Tetapi jika dapat diadakan ujian lebih kerap, dengan dapat menentukan keadaan kesihatan dengan lebih cepat, kita dapat asingkan mereka yang positif sebelum mereka dapat berdekatan dengan yang sihat,” katanya.
Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat kini berkuatkuasa seluruh negara kecuali Perlis, Pahang, Kelantan dan Sarawak bermula 9 November hingga 6 Disember. – 12 November, 2020.
Komen