MALAYSIA menetapkan penanda aras respons terhadap krisis Covid-19 untuk negara lain, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata sebelum ini, tidak ada sesiapa di dalam negara ini, malah pakar kesihatan pun tidak ada pengalaman dalam menguruskan pandemik.
Bagaimanapun, selepas 10 bulan berperang dengan koronavirus, Malaysia kini menetapkan standard untuk dicontohi orang lain, katanya.
“Tiada sesiapa di dalam negara ini, sama ada sektor swasta atau awam, termasuk pakar kesihatan awam dalam sektor swasta, yang berpengalaman mengendalikan pandemik.
“Tetapi sekarang kita ada pengalaman 10 bulan dan kita belajar dari negara jiran.
“Tidak ada penanda aras untuk menguruskan pandemik. Kita mencipta penanda aras kerana banyak negara belajar dari kita daripada segi cara kita mengendalikan gelombang kedua, misalnya.
“Ini menunjukkan kita menetapkan standard dan harapnya semua tindakan kita akan menjadi contoh untuk diikuti negara lain,” katanya di Putrajaya semalam.
Beliau menjawab soalan daripada pakar kesihatan tentang apa yang Putrajaya harapkan daripada penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) hampir di seluruh negara.
Mereka berkata kes harian tidak menunjukkan perubahan ketara di kebanyakan negeri.
Menjawab soalan itu, Noor Hisham berkata ada dua jenis pendapat tentang cara untuk respons terhadap wabak.
Katanya, pakar kesihatan awam mencadangkan kaedah imuniti kelompok atau pencegahan dan kawalan.
“Kita di Malaysia menggunakan pencegahan dan kawalan, bermakna untuk mencegah individu daripada dijangkiti. Jadi itu konsep kita. Ini hanya konsep tetapi kita tidak pasti yang mana betul dan salah,” katanya. – 12 November, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen