Dari mana sumber biaya Belanjawan 2021, soal Dr Mahathir


Ragananthini Vethasalam Diyana Ibrahim

Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan sumber dana untuk RM322.5 bilion dalam Belanjawan 2021. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 November, 2020.

DR MAHATHIR Mohamad hari ini mempersoalkan sumber dana untuk RM322.5 bilion dalam Belanjawan 2021 dan peruntukan tidak perlu diberikan kepada agensi kerajaan tertentu.

Ketika membahaskan rang undang-undang perbekalan itu di Dewan Rakyat hari ini, ahli Parlimen Langkawi itu berkata tidak seperti belanjawan sebelum ini, tiada cukai baharu diperkenalkan untuk membiayai kos belanjawan berkenaan.

“Kita tidak perlukan belanjawan sebesar ini, kecuali ia untuk menangani cabaran sosial, ekonomi atau membendung penularan Covid-19.

“Ada perbelanjaan yang boleh ditangguhkan sementara sementara kita belanjakan untuk melawan Covid-19 dan kemerosotan ekonomi,” katanya.

Bekas perdana menteri itu juga menyentuh tentang Kabinet yang besar dan peningkatan 520% dalam peruntukan kepada beberapa kementerian dan agensi kerajaan termasuk untuk naik taraf pejabat.

“Ramai yang dilantik sebagai menteri, timbalan menteri. Mereka ada menteri tetapi mereka tidak boleh bekerja kerana virus. Kita boleh kurangkan jumlah mereka tanpa mengganggu proses pentadbiran,” katanya.

Pendapatan Putrajaya akan terjejas tanpa rejim cukai baharu, terutama ketika ekonomi merosot.

Tambahan lagi, belanjawan itu akan defisit.

“Jika tidak cuku dana, kerajaan terpaksa berhutang. Hutang kerajaan akan meningkat RM1.3 trilion,” katanya.

Peruntukan RM160 juta untuk menaik taraf premis Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan RM231 juta kepada pejabat Kementerian Dalam Negeri antara perbelanjaan yang tidak perlu.

“Peruntukan untuk Jabatan Perdana Menteri naik daripada RM7.9 bilion pada 2020 kepada RM11.7 bilion (dan) RM1 bilion untuk projek khas.

“Apa keperluannya membelanjakan RM125 juta untuk projek Angkasapuri? Kita patut tangguh projek ini,” katanya.

Dr Mahathir berkata Malaysia masih perlu menjelaskan hutang berkaitan 1Malaysia Development Bhd.

Peruntukan RM3 bilion untuk Covid-19, iaitu kurang 1% daripada belanjawan itu juga menunjukkan kerajaan tidak serius tentang pandemik, katanya.

Walaupun Belanjawan 2021 menyaksikan peruntukan tertinggi dalam sejarah, ia tidak menangani masalah dihadapi rakyat, katanya.

Beliau berkata lebih ramai yang akan hilang sumber pendapatan kerana 32,000 perniagaan dijangka ditutup. – 12 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen