Tuntutan Filipina ke atas Sabah tidak berasas, kata timbalan menteri


Ragananthini Vethasalam Diyana Ibrahim

Kerajaan Malaysia telah lama menjelaskan pendirian mengenai isu tuntutan Sabah secara jelas dan konsisten, kata Timbalan Menteri Luar Negeri Kamarudin Jaffar. Gambar fail The Malaysian Insight, 12 November, 2020.

TUNTUTAN Filipina ke atas Sabah sebagai sebahagian daripada wilayahnya tidak berasas, kata Timbalan Menteri Luar Negeri Kamarudin Jaffar.

“Kerajaan Malaysia telah lama menjelaskan pendirian kita mengenai isu tuntutan Sabah secara jelas dan konsisten.

“Malaysia tidak akan sekali-kali, sampai bila-bila melayan atau mengiktiraf sebarang bentuk tuntutan oleh mana-mana pihak asing ke atas negeri Sabah,” kata ahli Parlimen Bandar Tun Razak semasa sesi Pertanyaan-Pertanyaan Bagi Jawab Lisan pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Isu tuntutan ke atas Sabah oleh Filipina bukan sahaja tidak berasas, malah tidak relevan tambah beliau.

Kamarudin menjawab pertanyaan Azizah Mohd Dun (Beaufort-Bersatu) berkenaan pendirian kerajaan terhadap isu itu.

Memetik keputusan Suruhanjaya Cobold 1962, Kamarudin menjelaskan rakyat Sabah telah melaksanakan hak menentukan sendiri status negeri mereka untuk berada dalam Persekutuan Malaysia.

“Laporan Suruhanjaya Cobold  telah dikemukakan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1 Ogos 1962, dan mengesahkan bahawa lebih daripada dua pertiga rakyat Sabah memilih untuk menyertai Malaysia pada 1963.” 

Maka Sabah dengan rasminya menyertai persekutuan Malaysia pada 16 September 1963, katanya.

Jelasnya lagi, Kementerian Luar Negeri mengambil tindakan segera bagi menolak kenyataan tersebut, sama ada dengan mengemukakan nota bantahan, mengeluarkan kenyataan media atau memanggil duta besar Filipina setiap kali isu tuntutan ke atas Sabah timbul.

Pada 20 Ogos lalu Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara Filipina dilapor meluluskan cetakan peta Filipina meliputi kawasan 320 kilometer Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dan Sabah di dalam pasport negara itu.

Rufus B Rodriguez dari Cagayan de Oro dilapor membuat cadangan RUU (rang undang-undang) pindaan bagi memasukkan kawasan maritim dituntut Flipina di Laut Cina Selatan dan wilayah Sabah ke dalam peta Filipina. – 12 November, 2020.     


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen