3 kluster baharu Covid-19, semuanya di Sabah


Ravin Palanisamy

Sabah buat hari ke-36 berturut-turut merekodkan jumlah kes harian tertinggi, hari ini negeri itu melaporkan 202 kes. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 November, 2020.

TIGA kluster baharu Covid-19 dengan 41 kes positif dikesan di Sabah, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Tiga kluster itu masing-masing di Sandakan, Kota Kinabalu, dan Lahad Datu.

Kluster Karamunting di Sandakan melaporkan 21 kes positif daripada 30 orang yang disaring, selebihnya negatif.

Manakala, Kluster Saga pula dikesan di Kota Kinabalu.

“Setakat tengah hari tadi, lima kes dikesan dari kluster itu menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak sembilan kes daripada 56 orang yang disaring, 47 orang lagi masih menunggu hasil ujian,” kata Dr Noor Hisham.

Kluster ketiga dikesan di Sabah hari ini adalah Kluster Haven di Lahad Datu, yang dikesan daripada lima kes indeks pada 5 November lalu.

“Sejumlah 140 individu telah disaring, di mana 11 kes dikesan positif Covid-19 termasuk satu kes baharu, 112 individu dikesan negatif; dan 17 individu masih menunggu keputusan,” tambahnya.

Malaysia melaporkan 822 kes baharu Covid-19 hari ini.

Sabah buat hari ke-36 berturut-turut merekodkan jumlah kes harian tertinggi, hari ini negeri itu melaporkan 202 kes atau 24.6% daripada keseluruhan kes harian. – 11 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen