PENUMPANG dibenarkan untuk duduk di kerusi hadapan kenderaan, tegas Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.
Tambahnya, penumpang dan pemandu juga tidak dihendaki memakai pelitup muka sepanjang perjalanan sekiranya mereka dari rumah yang sama.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan hanya dua orang dari satu rumah sama boleh menaiki satu kereta pada satu-satu masa.
Ismail, yang juga menteri pertahanan, mengulas video yang tular di media sosial merakamkan seorang lelaki yang mendakwa dikompaun kerana isterinya duduk di kerusi penumpang hadapan.
Menolak dakwaan itu, Ismail menjelaskan yang lelaki itu disaman kerana kesalahan menggunakan telefon bimbit ketika memandu.
Ismail Sabri berkata beliau sudah mendapatkan penjelasan Bukit Aman mengenai video itu, dan polis mendedahkan yang lelaki itu disaman kerana menggunakan telefon bimbit ketika memandu.
Tambahnya, video itu kelihatan seperti cubaan mencemarkan imej polis.
“Banyak berita palsu dan bahan memfitnah yang tersebar. Misalnya, kejadian semalam yang merupakan berita palsu untuk memfitnah polis,” katanya.
Tindakan boleh diambil ke atas mereka yang mengeluarkan video itu dan menyebarkannya, katanya lagi. – 11 November, 2020.
Komen