Ketepikan perbezaan, sertai protes bantah keputusan Trump


Noel Achariam

Tindakan Presiden Donald Trump mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu kota Israel mencetuskan bantahan di seluruh dunia. – Gambar AFP, 19 Disember, 2017.

PEMIMPIN pembangkang akan dijemput ke Masjid Putra di Putrajaya pada Jumaat untuk turut serta dalam protes terhadap pengiktirafan Jerusalem sebagai ibu kota Israel, kata Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid yang juga menteri dalam negeri berkata semua parti politik sepatutnya mengetepikan perbezaan dan menghadiri acara itu.

“Kami akan jemput speaker daripada semua parti politik untuk hadiri forum dan acara itu.

“Terdapat enam ahli panel menyertai forum yang akan diadakan selepas solat Jumaat.

“Kami berharap forum itu tidak jadi tempat untuk mereka suarakan perbezaan (pembangkang) tetapi untuk menunjukkan solidariti,” katanya selepas menghadiri perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya hari ini.

Himpunan yang akan diadakan itu bertujuan membantah tindakan Presiden AS Donald Trump untuk mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu kota Israel pada 6 Disember.

Organisasi Islam dan bukan Islam yang lain turut dijemput menyertai bantahan itu.

Pada sidang kemuncak Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) baru-baru ini, Perdana Menteri Najib Razak dilaporkan berkata OIC perlu bersatu dalam usahanya untuk menolak sebarang langkah untuk mengiktiraf Jerusalem sebagai ibu kota Israel, dan Jerusalem sepatutnya menjadi ibu kota Palestin.

Ketika ditanya sama ada Pengerusi Pakatan Harapan dan Bersatu Dr Mahathir Mohamad akan dijemput, Zahid berkata semua akan dipanggil tidak lama lagi.

Katanya, semua parti komponen Barisan Nasional akan turut serta.

Najib dan Presiden PAS Abdul Hadi Awang dan kumpulan persatuan sivil dijangka menyampaikan ceramah. – 19 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen