Dewan Rakyat lulus 9 jawatankuasa pilihan khas baharu


Chan Kok Leong Diyana Ibrahim

DEWAN Rakyat hari ini meluluskan usul membentuk sembilan Jawatankuasa Pilihan Khas baharu bagi menggantikan 10 jawatankuasa lama yang ditubuhkan semasa pentadbiran PH.– Gambar AFP, 11 November, 2020.

DEWAN Rakyat meluluskan usul membentuk sembilan Jawatankuasa Pilihan Khas baharu bagi menggantikan 10 jawatankuasa lama yang ditubuhkan semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan semasa membentangkan usul itu berkata, ia hasil perbincangan dalam lima mesyuarat yang dipengerusikan speaker Azhar Azizan Harun.

Mesyuarat tersebut merujuk kepada Jawatankuasa Dewan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat yang turut diwakili dua ahli Parlimen pembangkang.

“Jawatankuasa Dewan bersetuju bahawa sepuluh Jawatankuasa Pilihan Khas sedia ada tidak akan diteruskan dan diganti dengan sembilan Jawatankuasa Pilihan Khas yang baharu,” katanya.

Ia antara lain memutuskan mengganti jawatankuasa pilihan khas berkaitan kebebasan hak asasi dan hak, kewangan serta ekonomi, keselamatan dan agensi bawah Jabatan Perdana Menteri.

Turut diganti jawatankuasa bagi pertanian dan dagagangan dalam negeri, pembangunan sosial, infrastruktur, pendidikan, kesihatan dan sains serta melibatkan wanita dan kanak-kanak.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan berkata, ia hasil perbincangan dalam lima mesyuarat yang dipengerusikan speaker Azhar Azizan Harun.– Gambar fail The Malaysian Insight, 11 November, 2020.

Bantahan disuarakan Hannah Yeoh (DAP-Segambut) yang berpendapat komposisi anggota jawatankuasa pilihan khas baharu tidak mencerminkan jumlah sebenar ahli Parlimen.

Katanya jawatankuasa khas tersebut sepatutnya diwakili sehingga tiga ahli Parlimen pembangkang dan hanya empat dari kerajaan kerana majoriti tipis dikuasai Perikatan Nasional (PN).

“Sekarang walaupun majoriti sangat tipis tapi (jawatankuasa baharu) ada lima ahli Parlimen kerajaan dan ramai lagi parti pembangkang yang tak termasuk dalam jawatankuasa,” katanya.

Takiyuddin ketika menjawab celahan itu berkata komposisi yang ditentukan dalam Jawatankuasa Pilihan Khas merupakan amalan biasa yang juga pernah dibuat  pentadbiran PH.

Jelasnya, PH melakukan perkara sama dengan hanya menyertakan empat wakil pembangkang dari 12 ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara.

“Tak kira siapa jadi pembangkang jadi amalan inilah yang diteruskan itu amalan yang diterima pembangkang masa itu,” katanya.

Isu sama mengenai komposisi jawatankuasa tersebut dibangkitkan Ngeh Koo Ham (DAP-Beruas).

Takiyuddin seterusnya berkata ahli Parlimen boleh mengusulkan cadangan dan bantahan kepada speaker dan dan akan diputuskan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas kelak. – 11 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen