Wartawan foto The Malaysian Insight menang anugerah antarabangsa


Ravin Palanisamy

Irwan Majid dipilih sebagai pemenang projek The Other Hundred Healers, anjuran GIFT. – Gambar Facebook, 11 November, 2020.

KARYA wartawan foto The Malaysian Insight baru-baru ini memenangi projek kewartawanan foto antarabangsa.

Irwan Majid, wartawan foto portal berita yang berpangkalan di Sabah, diumumkan sebagai pemenang projek kewartawanan foto bukan berasaskan keuntungan yang dikenali sebagai The Other Hundred Healers, inisiatif oleh Global Institute for Tomorrow (GIFT).

“Projek ini menerima hampir 600 penyertaan dari 120 negara dan hanya satu pemenang di setiap negara terpilih.

“Dan kami sangat gembira kerana karya jurugambar Irwan Majid dari Malaysia dipilih untuk mewakili Malaysia dalam projek ini,” kata Jaqueline P’ng, pengurus projek GIFT dalam satu kenyataan.

Berjudul “Celebrating Unsung Heroes of the Pandemic”, edisi ini meraikan lelaki, wanita dan kanak-kanak yang membantu komuniti mereka semasa wabak global ini tanpa mementingkan diri dengan prihatin, kasih dan ihsan.

“Objektif kami adalah untuk meraikan golongan ini. Oleh itu, kami mengambil pandangan lebih luas mengenai apa yang dimaksudkan dengan menjadi ‘healer’: bukan hanya petugas perubatan, tetapi juga pekerja penghantaran, pengendali radio, dan artis serta lain-lain.

“Jadi, dalam tempoh ketegangan dan perpecahan hubungan yang semakin buruk, kami berharap dapat menyebarkan pesanan The Other Hundred Healers ke seluruh dunia,” kata P’ng.

Irwan berkata, segala kerja keras akhirnya membuahkan hasil.

Dengan kemenangan ini, beliau berharap orang ramai dapat mengetahui lebih banyak mengenai Sabah

“Sebagai penduduk Sabah, saya sangat gembira dan bangga dengan kemenangan ini kerana tidak mudah memenangi pertandingan antarabangsa.

“Saya gembira kerana memainkan peranan untuk membawa Sabah ke pentas dunia.

“Semoga orang di luar sana akan mengetahui lebih banyak mengenai Sabah, kepelbagaian yang indah, sumber hutan yang kaya dan pantai yang cantik,” katanya, sambil menambah beliau akan terus menyertai pertandingan antarabangsa yang lain.

Irwan mengucapkan terima kasih kepada majikan, keluarga dan rakan-rakannya di atas sokongan mereka. – 11 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen