KETUA Pembangkang Anwar Ibrahim mendesak kerajaan untuk mempertimbangkan cadangan pemberian geran bantuan dan melanjutkan kontrak perkhidmatan pengusaha kantin yang perniagaannya terjejas oleh penutupan sekolah akibat wabak Covid-19.
“Saya ambil maklum mengenai lebih 10,000 pengusaha kantin di seluruh negara terkesan ekoran keputusan penutupan sekolah sehingga 17 Disember ini.
“Saya tuntut penjelasan dan tindakan segera dari kerajaan, terutamanya Menteri Pendidikan berhubung isu ini,” katanya.
Beliau berkata penutupan sekolah akan memaksa ramai pengusaha kantin gulung tikar akibat ketidakmampuan mereka menanggung bebaban kos operasi harian.
Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata beliau kecewa dengan kerajaan yang membuat keputusan terburu-buru tanpa mengambil kira nasib pengusaha kantin.
Beliau menasihatkan kerajaan untuk berfikir dan meneliti setiap aspek sebelum membuat keputusan yang memberi kesan kepada ramai rakyat terutamanya pada saat genting seperti ini.
Menteri Pendidikan Mohd Radzi Md Jidin berkata semua sekolah dan institusi pengajian tinggi di bawah Kementerian Pendidikan akan ditutup sepanjang tahun ini dan hanya akan dibuka semula pada 20 Januari selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan.
Walaupun sekolah di Perlis, Pahang, Kelantan dan Sarawak tidak diletakkan di bawah PKPB, sekolah di negeri berkenaan uga akan ditutup dalam usaha untuk memutuskan rantaian Covid-19.
Sekolah diharapkan dapat menjalankan pembelajaran dari rumah atau dalam talian bagi menggantikan pembelajaran di bilik darjah. – 11 November, 2020.
Komen