Polis ambil keterangan Adun Ketari, dakwaan langgar SOP PKPB


Semalam, Adun Ketari Young Syefura Othman dikecam hebat selepas memuatnaik beberapa keping gambar di Instagram tanpa mematuhi SOP PKPB. – Gambar Instagram, 10 November, 2020.

AHLI Dewan Undangan Negeri Ketari Young Syefura Othman diambil keterangan oleh polis malam ini berhubung dakwaan melanggar peraturan di bawah perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Syefura dalam satu kenyataan berkata beliau ditemani peguamnya Syahredzan Johan hadir memberi keterangan di ibu pejabat polis daerah Sepang.

“Saya telah memberi kerjasama penuh kepada pihak polis.

“Saya menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis dan pendakwa raya dalam menentukan tindakan yang akan diambil terhadap saya,” katanya.

Syefura juga berharap sebarang tindakan yang akan diambil terhadapnya adil dan saksama, tanpa harus ada layanan berbeza atas kedudukannya sebagai wakil rakyat.

“Saya kesal dan sekali lagi memohon maaf di atas apa yang berlaku,” tambahnya.

Polis sebelum ini berkata menerima dua laporan terhadap Syefura.

Syefura dikecam dan disindir teruk di media sosial sejak semalam selepas memuat naik beberapa gambar di Instagram yang menunjukkan beliau menyambut majlis hari jadi di Selangor bersama beberapa orang kawan.

Gambar itu juga menunjukkan beliau tidak memakai pelitup muka dan tidak menjaga jarak, seperti yang dianjurkan oleh Kementerian Kesihatan bagi mengawal penularan Covid-19.

Syefura, 31, sudah memohon maaf secara terbuka semalam.

“Saya tidak menggunakan sebarang kelebihan sebagai seorang wakil rakyat untuk bergerak dalam Selangor, negeri saya bermastautin,” katanya, yang terpilih sebagai wakil rakyat dari DAP di Pahang.

Gambar bersama empat rakannya itu sudah dipadamkan.

Beliau bagaimanapun disindir pengguna media sosial yang mengungkit beberapa kenyataannya semasa Menteri Perusahaan Perladangan dan Komiditi Mohd Khairuddin Aman Razali dikecam kerana melanggar peraturan wajib kuarantin 14 hari selepas balik dari luar negeri.

Polis menutup kes Khairuddin atas arahan Pejabat Peguam Negara kerana menteri dari PAS itu tidak diserahkan borang mengikut undang-undang yang mensyaratkan beliau menjalani perintah kuarantin wajib berkenaan. – 10 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen