Cari jalan lain selain PKPB, kata persatuan doktor


Ragananthini Vethasalam

Akademi Perubatan Malaysia mahu Putrajaya menarik semula PKPB yang dikuatkuasakanserta mencari jalan alternatif untuk memutuskan jangkitan Covid-19 di negara ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 10 November, 2020.

AKADEMI Perubatan Malaysia (AMM) mahu Putrajaya menarik semula Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuatkuasakan di semua negeri kecuali Pahang, Perlis dan Kelantan serta mencari jalan alternatif untuk memutuskan jangkitan Covid-19 di negara ini.

Badan yang mewakili pakar perubatan itu berkata kadar jangkitan atau R-naught (r-0) yang merupakan metrik digunakan sebagai asas kepada keputusan kerajaan untuk menguatkuasakan PKPB jatuh ke 0.95 pada 9 November dari 2.2 pada awal September.

“Peningkatan ini menunjukkan bahawa walaupun kadar jangkitan yang agak tinggi masih dapat dilihat di Sabah, Selangor dan Pulau Pinang, jangkitannya dapat diatasi dengan baik serta tidak ada indikasi peningkatan kes,” katanya dalam satu kenyataan.

Hanya Negeri Sembilan yang mempunyai kadar jangkitan lebih tinggi dari kadar nasional sementara Kedah, Perak, Terengganu, Johor dan Melaka berada pada tahap agak rendah, tambahnya. 

“Kami mahu kerajaan untuk menjelaskan ilmu di sebalik keputusan untuk menguatkuasakan PKPB di Lembah Klang, Kedah, Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Johor dan Terengganu walaupun kadar jangkitan meningkat,” kata mereka.

AMM berkata kerajaan harus mencari strategi lain untuk mengekang virus berkenaan dan kembali kepada perintah kawalan pergerakan pemulihan (PKPP).

Mereka juga mengulangi saranan agar PKPP yang disasarkan dikuatkuasa di zon dengan kadar jangkitan tinggi kerana kurang menganggu ekonomi serta kehidupan masyarakat.

Ia bagaimanapun akan dilaksanakan dengan pengesanan kontak, ujian dan pengasingan kontak yang agresif bagi memastikan tidak ada penyebaran virus di kawasan sekitarnya, kata mereka sambil memuji rekod prestasi Kementerian Kesihatan yang baik dalam menangani situasi seperti itu.

“Kita mesti menggunakan ‘jalan tengah’ yang disarankan oleh Organisasi Kesihatan Sedunia (WHO) dan belajar untuk hidup bersama virus, meminimumkan kesakitan dan kematian tanpa henti serta menghidupkan kembali ekonomi serta kehidupan masyarakat. Sekiranya Malaysia berjaya mengatasi Covid-19, kita mesti belajar hidup dengannya,” katanya.– 10 November, 2020.

Berita penuh di sini. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen