Kementerian perlu kaji laporan klinikal vaksin Covid-19, kata Noor Hisham


Ravin Palanisamy

KP Kesihatan Dr Noor Hisham berkata setakat ini terdapat 11 vaksin ujian klinikal fasa 3 tetapi laporannya masih belum diteliti. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 10 November, 2020.

KEMENTERIAN Kesihatan akan menunggu laporan ujian klinikal sebelum membuat sebarang pembelian vaksin koronavirus terbaru, kata Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan berkata kementerian berharap mendapat laporan ujian klinikal fasa ketiga bagi vaksin Covid-19 yang dikembangkan oleh Pfizer Inc dan BioNTech SE untuk menganalisis keselamatan serta keberkesanannya.

“Kami sedang mencari vaksin tetapi sehingga kini walaupun ada 11 vaksin yang berada dalam ujian klinikal fasa 3, kami belum membaca laporannya.

“Kami berharap untuk mendapatkan laporan itu dan kami akan menganalisis bagi melihat aspek keselamatan serta keberkesanan vaksin itu,” katanya.

Semalam Pfizer Inc mengumumkan bahawa vaksin Covid-19 yang sedang dibangunkannya berjaya mencatatkan keberkesanan hingga 90 peratus.

 

Noor Hisham juga berkata akan ada cabaran logistik dan penyimpanan yang perlu diatasi jika Malaysia memutuskan untuk mendapatkan vaksin.

“Jelas ada banyak masalah logistik dan sebenarnya ada rantai dingin (rantaian tindakan dan peralatan yang diterapkan untuk mengekalkan produk).

“Kita perlu menyediakan semua infrastruktur dan alat suhu rendah sebelum mendapatkan vaksin,” katanya merujuk pada laporan bahawa vaksin harus disimpan pada suhu -70 darjah selsius atau di bawah.

Walaupun begitu Noor Hisham berkata beliau masih dalam dilema mengenai vaksin Covid-19 kerana vaksin denggi sebelum ini yang terbukti mempunyai masalah keselamatan dalam ujian klinikal fasa 3. – 10 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen