Penumpang perjalanan udara domestik dan antarabangsa telah menurun sebanyak 78% sejak 1 Mac, kata Kementerian Pengangkutan.
“Jumlah penumpang perjalanan udara setiap hari menurun dari 280,321 penumpang sehari pada Januari kepada 59,378 penumpang sehari pada September,” kata Dr Wee Ka Siong dalam jawapan bertulis kepada Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) menganggarkan bahawa jumlah penumpang perjalanan udara akan menurun antara 72.8% hingga 75.6% pada 2020.
“Ia dari 109.2 juta pada 2019 menjadi 26.6-29.7 juta tahun ini,” katanya.
Beliau berkata bahawa ia akan memakan masa sehingga tiga tahun sebelum industri penerbangan dapat pulih akibat wabak Covid-19.
Beliau berkata kerajaan bersetuju untuk Malaysia Airport Holdings Bhd mengurangkan bayaran mendarat dan parkir pesawat.
“Ketika ini kerajaan sedang berunding dengan Singapura, Brunei, Thailand, Vietnam, New Zealand, Australia, Korea Selatan dan Jepun untuk mewujudkan gelembung perjalanan udara.
Perbincangan itu kata Wee, diketuai oleh Kementerian Kesihatan dan Kementerian Luar Negeri.
Wee yang merupakan ahli Parlimen Ayer Hitam menjawab pertanyaan Dr Azman Ismail (Kuala Kedah-PH) mengenai rancangan kerajaan untuk menghidupkan kembali industri penerbangan. – 10 November, 2020.
Komen