PENDAFTARAN kemasukan ke stesen minyak hanya diperlukan apabila masuk ke kedai serbaneka, surau atau tandas, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.
Mereka yang membayar minyak melalui ruang tingkap stesen atau kad kredit di pam minyak tidak perlu mendaftar kunjungan menerusi aplikasi MySejahtera, tambahnya.
“Saya mahu jelaskan hari ini selepas ada laporan orang didenda di stesen minyak.
“Mereka yang masuk kedai serbaneka untuk beli makanan atau minuman, atau menggunakan ATM atau membayar di kaunter, mereka perlu daftar guna MySejahtera atau secara manual.
“Jika mereka bayar guna ruang tingkap atau kad, tak perlu daftar.
“Tetapi, jika anda guna surau atau tandas, anda perlu daftar. Jika anda perlu isi angin tayar tak perlu daftar. Saya harap kita semua jelas dengan ini,” katanya pada sidang media, hari ini.
Menteri pertahanan itu berkata demikian ketika diminta mengulas isu itu selepas Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mior Faridalathrash Wahid semalam berkata semua orang perlu mendaftar kehadiran menggunakan MySejahtera sebelum mengisi minyak.
Ia susulan rakaman suara seorang lelaki mendakwa ayahya didenda RM1,000 walaupun memakai pelitup muka ketika mengisi minyak tular.
Mior bagaimanapun berkata, polis perlu menjejak semua orang yang pernah berkunjung ke stesen petrol itu sekiranya kes Covid-19 berlaku melibatkan premis berkenaan.
Bagaimanapun, pendirian polis itu bercanggah dengan jawapan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kementerian Kesihatan yang berkata orang ramai tidak perlu mendaftar MySejahtera ketika mengisi minyak. – 10 November, 2020.
Komen