PERLEMBAGAAN Sarawak wajar dipinda untuk melanjutkan penggal DUN semasa “melebihi lima tahun atau sehingga selamat untuk pilihan raya diadakan”, cadang seorang Adun Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Adun Layar Gerald Rentap Jabu membuat cadangan itu ketika membahaskan Rang Undang-Undang Langkah Sementara Untuk Mengurangkan Kesan Covid-19 di DUN, hari ini.
Sarawak perlu mengadakan pilihan raya antara sekarang hingga 6 Jun 2021 bagi memenuhi keperluan perlembagaan bagi penggal kerajaan semasa.
“Kita perlu lihat jangka masa panjang dalam erti kata kita patut melanjutkan tempoh DUN sehingga kita mencapai masa selamat untuk mengadakan pilihan raya.
“Saya tak mahu tangan saya berdarah, apabila ada orang sakit kerana pilihan raya,” katanya.
Anak bekas timbalan ketua menteri Alfred Jabu itu menggunakan contoh penularan Covid-19 dari Sabah ke seluruh negara susulan pilihan raya negeri September lepas, memberikan amaran yang Sarawak boleh berdepan nasib sama.
“Nyawa dan kehidupan rakyat Sarawak akan teruk terjejas dan kejatuhan teruk sosial dan demokratik yang sukar dibayangkan,” katanya.
Jabu berkata cadangan itu pernah dibuat sebelum ini, apabila Majlis Negeri (nama lama DUN) dilanjutkan penggalnya pada 1968.
Perkara 21 (3A) Perlembagaan Negeri boleh dipinda, tambahnya.
“Sekiranya memang wujud sokongan kepada cadangan ini, mungkin usul menteri boleh dibuat.”
Tambahnya, usul itu perlu disokong semua Adun atau beliau akan dituduh memperlekeh demokrasi walaupun tujuan cadangan itu baik. – 10 November, 2020.
Komen