Lebih 187,000 pekerja hilang kerja terima RM290 juta faedah sistem insurans Perkeso


Diyana Ibrahim Chan Kok Leong

Rizab terkumpul bagi dana itu adalah sebanyak RM1.3 bilion dan ia mencukupi untuk menampung jumlah rakyat Malaysia yang kehilangan kerja. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 November, 2020.

SEBANYAK RM290 juta dana faedah Sistem Insurans Pekerja (SIP) Perkeso telah diberikan kepada 187, 258 rakyat Malaysia yang kehilangan kerja setakat 30 Oktober ini, kata Menteri Sumber Manusia M Saravanan.

Menurut beliau rizab terkumpul bagi dana itu adalah sebanyak RM1.3 bilion dan ia mencukupi untuk menampung jumlah rakyat Malaysia yang kehilangan kerja.

“Sehingga tarikh yang sama (30 Oktober) sebanyak RM290.1 juta telah diluluskan untuk dibayar kepada pekerja yang kehilangan kerja melibatkan sebanyak 187, 258 tuntutan daripada penerima faedah iaitu Elaun Mencari Pekerjaan EMP sebanyak 169,212 tuntutan.

“Elaun Bekerja Semula Awal EBSA sebanyak 17,388 dan Elaun Pendapatan Berkurangan EPB sebanyak 658 tuntutan,” katanya dalam jawapan bertulis Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Klang Charles Santiago.

Charles bertanya kepada menteri itu untuk menyatakan jumlah pendapatan SIP dan sama ada peruntukan mencukupi membayar pampasan kepada pekerja hilang kerja.

Menjawab soalan berapa permohonan yang telah ditolak, menteri itu berkata jumlahnya sebanyak 16,676 setakat 30 Oktober.

“Punca tertinggi yang menyebabkan permohonan ditolak adalah kerana tidak mencukupi syarat kelayakan dan tamat tempoh kontrak,” katanya.

Lebih 800,000 individu kehilangan pekerjaan sejak negara dilanda pandemik Covid-19 menerusi data yang dikeluarkan Perkeso pada September lepas. – 10 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen