PKPB di 7 negeri susulan kes Covid-19 naik ketara, kata menteri


Chan Kok Leong Diyana Ibrahim

Terdapat keperluan untuk kerajaan menggunakan pendekatan yang lebih tegas dan berani membendung Covid-19, kata Mohd Redzuan Md Yusof.– Gambar fail The Malaysian Insight, 10 November, 2020.

PERINTAH Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di tujuh negeri susulan peningkatan ketara kes Covid-19, kata Mohd Redzuan Md Yusof.

“Keputusan Kerajaan ini dibuat susulan daripada laporan kes pada 6 November oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di mana Malaysia telah mencatatkan jumlah tertinggi kes Covid-19 harian iaitu sebanyak 1,755 kes,” kata menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) menerusi jawapan bertulis Parlimen hari ini.

Redzuan berkata kerajaan memutuskan PKPB dilaksanakan di semua negeri di Semenanjung kecuali Perlis, Kelantan dan Pahang selama 4 minggu mulai 9 November hingga 6 Disember.

“Kerajaan mengambil keputusan ini berikutan peningkatan kes Covid-19 di setiap negeri tersebut dan terdapat keperluan untuk kita menggunakan pendekatan yang lebih tegas dan berani sebelum keadaan bertambah buruk,” tambah ahli Parlimen Alor Gajah itu.

Redzuan menjawab soalan dikemukakan Wong Shu Qi (Kluang-PH) berkenaan rasional pelaksanaan PKPB kecuali di Perlis, Kelantan dan Pahang  pada Sesi Waktu Pertanyaan-pertanyaan Menteri (MQT)  di Dewan Rakyat hari ini.

Sesi  MQT kali ini hanya memerlukan ahli Parlimen membacakan soalan dan menteri berkenaan akan menjawab secara bertulis pada hari sama, dengan soalan dan jawapan itu akan disiarkan dalam portal Parlimen Malaysia secepat mungkin.

Dewan Rakyat akan berlangsung hanya selama empat jam mulai 10 pagi hingga 2 petang mulai semalam. Hanya 80 ahli Parlimen dibenarkan berada dalam dewan pada satu-satu masa bagi mengelakkan penularan Covid-19.

Pakar kesihatan dan ekonomi mempersoalkan keputusan kerajaan melaksanakan PKPB di tujuh negeri yang akan menjejaskan pemulihan ekonomi.  – 10 November, 2020. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen