PERTUBUHAN Kesihatan Dunia (WHO) gembira dengan pengumuman penemuan vaksin dibangunkan bersama oleh firma farmaseutikal Pfizer dan BioNTech, yang didapati 90% berkesan untuk mencegah virus Covid-19.
Dua firma berkenaan semalam berkata vaksin yang kini memasuki fasa ketiga itu berupaya memberi perlindungan kepada pesakit selama tujuh selepas diberi dos kedua, dan 28 hari selepas dos pertama.
“Kami menyambut baik berita gembira dari @pfizer & @BioNTech_Group, tahniah kepada para saintis dan rakan di seluruh dunia yang membangunkan ubat yang selamat, berkesan untuk melawan #COVID19,” tulis Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus di Twitter.
“Dunia kini menyaksikan inovasi dan kolaborasi yang pertama seumpamanya untuk menamatkan pandemik ini.”
Sehingga Oktober lalu, WHO mengenal pasti 42 ” calon vaksin” yang ketika itu di peringkat ujian klinikal, berbanding 11 pada pertengahan Jun.
Sepuluh daripadanya masuk ke fasa ketiga, di mana vaksin diuji dalam skala yang besar, membabitkan ribuan manusia di seluruh dunia. – AFP, 10 November, 2020.
Komen