PERINTAH kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan hingga 6 Disember di hampir semua negeri bertujuan melindungi kawasan tanpa kes Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata dalam gelombang ketiga, virus sudah ada di kalangan masyarakat dan ia sudah terlewat jika Putrajaya melaksanakan sekatan sebahagian selepas kawasan menjadi zon merah.
“Kita tidak perlu menunggu sehingga semua zon menjadi merah. Justeru, kami perlu mengambil tindakan.
“Sebagai contoh di Sarawak, Kuching berada di bawah PKPB tetapi kita perlu melindungi kawasan hijau yang lain.
“Negeri hijau seperti Perlis, Pahang, Kelantan harus dilindungi,” katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.
Menjadikan Selangor sebagai contoh, beliau berkata negeri itu pada mulanya menentang pelaksanaan PKPB tetapi pada masa ini terdapat lebih enam daerah dalam kategori zon merah, dua zon kuning dan satu jingga.
“Kepadatan dan mobiliti penduduk di negeri ini tinggi.
“Jadi, apa yang kami laksanakan adalah tindakan proaktif dan lebih awal.
“Terdapat banyak bantahan tetapi hari ini, sudah ada enam zon merah dan dua lagi yang mungkin juga zon merah (di Selangor),” katanya.
Noor Hisham berkata PKPB adalah pendekatan terbaik yang digunakan untuk menyeimbangkan kehidupan, ekonomi dan kesihatan.
Beliau berkata PKPB dilaksanakan untuk membataskan perjalanan rentas sempadan, negeri dan bahkan daerah, sambil menambah pergerakan dari satu tempat ke tempat lain memberi risiko penularan.
Noor Hisham juga berkata PKPB menunjukkan hasil yang positif kerana jumlah kadar jangkitan (R0) berjaya diturunkan di bawah 1.
Beliau berkata orang ramai perlu menyesuaikan kehidupan dalam keadaan sedemikian sehingga vaksin ditemui.
“Tiada situasi normal dan kita harus hidup dengan virus.
“Kita perlu menyesuaikan diri dengan lingkungan baru ini untuk bertahan dan mencegah jangkitan,” katanya.
Beliau berkata PKPB sekarang dirancang selama empat minggu tetapi berkata PKP pemulihan mungkin dilaksanakan lebih awal jika lengkungan Covid-19 dilandaikan, dan orang ramai harus mematuhi SOP dengan tegas.
Minggu lalu Malaysia melaksanakan semula PKPB di semua negeri kecuali tiga negeri di Semenanjung selama empat minggu ketika negara terus memerangi Covid-19.
PKPB bermula dari 9 November hingga 6 Disember, akan melibatkan Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Johor dan Terengganu.
Tiga negeri yang tidak terjejas oleh larangan tersebut adalah Kelantan, Perlis dan Pahang.
Langkah PKPB di Sabah, Selangor, Putrajaya dan Kuala Lumpur, yang pada awalnya dijadualkan berakhir pada 9 November, juga dilanjutkan hingga 6 Disember. – 9 November, 2020.
Komen