Gabungan kes baharu Covid-19 di Lembah Klang, NS atasi Sabah 


Ravin Palanisamy

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan, terdapat sembilan kluster yang melibatkan Negeri Sembilan iaitu Cergas, Kaya, Lengkuk, Gedong, Hentian, Jernih, Taman Bunga, Auto dan Ikhtisas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 November, 2020.

GABUNGAN kes baharu Covid-19 di Lembah Klang dan Negeri Sembilan mengatasi jangkitan di Sabah hari ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Katanya, Negeri Sembilan mencatatkan 260 kes sementara Selangor 138 kes, diikuti Kuala Lumpur (22) dan Putrajaya (5).

Sebaliknya, Sabah mencatatkan 370 jangkitan baharu.

Ketika ditanya mengenai lonjakan kes di Negeri Sembilan, Noor Hisham berkata terdapat beberapa kluster aktif di negeri itu yang menyumbang kepada kenaikan tersebut.

“Kita mempunyai lebih enam kluster aktif. Terdapat juga perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) secara bersasar di daerah tertentu. Justeru, kami menjalankan ujian calitan, dan berharap dapat menyaring lebih banyak lagi.

“Kami sudah melakukan penilaian risiko dan akan melakukan campur tangan kesihatan awam serta mengambil semua langkah berjaga-jaga,” kata Noor Hisham pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Berdasarkan data Kementerian Kesihatan, terdapat sembilan kluster yang melibatkan Negeri Sembilan: Cergas (250 kes keseluruhan), Kaya (614), Lengkuk (180), Gedong (65), Hentian (430), Jernih (34), Taman Bunga ( 45), Auto (126), Ikhtisas (24).

Ketua pengarah kesihatan juga berkata kluster Gedong dan Hentian semakin merebak dan kes di kawasan berkenaan tinggi.

Beliau berkata PKPD dilanjutkan di dua kawasan ini.

“Gedong melibatkan sekolah dan kluster ini sebenarnya sedang merebak.

“Kami juga memantau kluster Hentian, yang melibatkan pekerja asing. Kes di sini juga tinggi.

“Jadi, kami melanjutkan PKPD di kawasan itu,” katanya.

Hari ini, Malaysia mencatat rekod 1,345 pemulihan Covid-19, mengatasi jumlah jangkitan baharu di Malaysia. – 9 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen