PKPD di 4 kawasan dilanjutkan


Majlis Keselamatan Negara hari ini melanjutkan PKPD di empat kawasan kerana masih terdapat kes positif Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 November, 2020.

MAJLIS Keselamatan Negara melanjutkan perintah kawalan pergerakan diperketat untuk empat kawasan dan menamatkannya di dua kawasan, kata Ismail Sabri Yaakob.

MKN juga mengenakan PKPD di satu lagi kawasan, Kg Sabah Baru di Lahad Datu.

“MKN sudah berjumpa dan menilai situasi dan memutuskan yang PKPD akan dilanjutkan di empat kawasan kerana masih ada kes positif Covid-19 (di sana),” kata menteri kanan itu pada sidang media, hari ini.

Empat kawasan yang dilanjutkan PKPD selama 14 hari lagi itu adalah Pangsapuri Mutiara Kasih dan Taman Khazanah Indah (hingga 23 November) di Lahad Datu, Sabah, manakala PKPD di Plaza Hentian Kajang di Hulu Langat; Putra Point di Nilai dan Kg Haji Baki di Kuching pula dijadualkan tamat pada 24 November.

Dua lagi kawasan ditamatkan PKPD adalah Felda Umas di Kalabakan, Sabah dan Flat Sg Emas di Kuala Langat, Selangor.

Ismail berkata saringan sudah dijalankan sepenuhnya di dua kawasan itu dan didapati tiada lagi kes Covid-19.

Sementara itu, 704 orang dikompaun dan 11 lagi direman manakala 2 lagi dibebaskan dengan ikat jamin kerana melanggar SOP PKPB.

Daripada jumlah itu, 205 kerana tidak mengamalkan penjarakan sosial, 118 orang tidak memakai pelitup muka dan 63 orang kerana melintas daerah, manakala 110 premis kerana beroperasi lebih had masa, 103 premis hiburan dan 73 premis tidak menyimpan rekod kunjungan pelanggan.

37 orang lagi didenda kerana kesalahan lebih dua orang dalam satu kenderaan. – 9 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen