BELANJAWAN 2021 banyak kelemahan kerana kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak menyangka perlu membentangnya di Dewan Rakyat ketika ia yakin perisytiharan darurat akan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, dakwa Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad.
Katanya, sekiranya pengisytiharan darurat itu diperkenankan, belanjawan boleh terus diluluskan tanpa perlu dibentang di Parlimen.
“Mengikut perancangan dan harapan PN bajet akan diluluskan begitu saja kerana akan diistiharkan darurat. Bila nak isytihar darurat kita akan tahulah bahawa bajet ini memang susah nak dapat sokongan.
“Kalau bajet ini baik, bertanggungjawab, inklusif, adil dan akan hasilkan kebaikan kepada seluruh masyarakat, maka tak perlulah susah payah jumpa Agong supaya diisytiharkan darurat.
“Tapi bila ditolak darurat maka tiba-tiba kerajaan terpaksa bentang dalam Dewan Rakyat.
“Dalam tempoh berapa hari saja kena siapkan bajet, yang sekarang ini kita lihat setelah ia dibentang, banyak kekurangan dan kejahatan yang terselit di dalamnya,” katanya semasa membahaskan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.
Khalid dalam perbahasannya meneruskan hujah pembangkang yang antara lain mempersoalkan punca pendapatan kerajaan untuk dibelanjakan dalam belanjawan yang besar, yang memperuntukkan perbelanjaan RM322.5 bilion. Ia adalah peruntukan paling besar pernah diatur oleh kerajaan.
Namun belanjawan kerajaan PN tidak terlepas daripada kritikan terutama keputusan untuk membuka semula dulunya dikenali unit propaganda kerajaan dengan peruntukan RM85.5 juta.
Mengulas cadangan penubuhan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Khalid berkata ia satu pembaziran.
Keperluan Jasa, yang dimansuhkan oleh Pakatan Harapan selepas mengambil alih kerajaan daripada Barisan Nasional, menunjukkan wakil rakyat PN tidak mampu menjalankan tugas dengan baik sehingga terpaksa menghidupkan semula unit propaganda itu.
Beliau juga mempersoalkan kewajaran langkah tersebut sedangkan Kabinet PN terlalu besar, dengan 70 orang menteri dan timbalan menteri.
“Kabinet besar… 70 orang dalam Kabinet tapi tidak ada kerja. Ini sebenarnya soal tanggungjawab kerajaan membuat pembaziran, belum sebut lagi Jasa. Nasib baiklah Permata tak nak dihidupkan.
“Kenapa Jasa nak dihidupkan balik? Kenapa? Kerana wakil rakyat tak buat kerja, sebab itu Jasa yang kena dapatkan maklumat… sebab wakil rakyat PN tidur,” katanya.
Khalid menegaskan beliau tidak akan teragak- agak menolak belanjawan itu jika kerajaan tidak mahu mendengar gesaan pembangkang untuk mengubahnya. – 9 November, 2020.
Komen