Polis Pulau Pinang mula laksana sekatan jalan raya hari ini


10 sekatan jalan raya akan dilaksanakan melibatkan kawasan SPU dan kawasan berdekatan sempadan Pulau Pinang-Kedah dan Pulau Pinang-Perak kerana penguatkuasaan PKPB. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 November, 2020.

POLIS akan melaksanakan sekatan jalan raya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) kembali berkuat kuasa hari ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata sebanyak 10 sekatan jalan raya akan dilaksanakan melibatkan kawasan SPU dan kawasan berdekatan sempadan Pulau Pinang-Kedah dan Pulau Pinang-Perak.

“Sekatan jalan raya ini dilaksanakan sebagai usaha menyekat aktiviti merentas negeri tanpa kebenaran sepanjang PKPB berkuatkuasa,” katanya dalam sidang akhbar di Butterworth, hari ini.

Beliau berkata selain sekatan di jalan raya, polis turut akan melaksanakan sekatan di terminal awam seperti feri dan keretapi.

“Polis juga akan meningkatkan pasukan petugas yang bertindak memastikan individu dan peniaga supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Selain itu, polis juga akan mengadakan sekatan jalan raya selama 24 jam secara bergerak sebagai langkah untuk menghalang mereka yang cuba merentas daerah tanpa kebenaran,” katanya dan menambah  300  anggota termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan pasukan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) terlibat dalam operasi berkenaan.

Susulan peningkatan kes Covid-19, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri  Yaakob  mengumumkan bahawa PKPB dikuatkuasakan di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Terengganu mulai hari ini sehingga 6 Disember. – Bernama, 9 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen