PUTRAJAYA agak optimis mengunjurkan hasil kerajaan bagi 2021 berjumlah RM236.9 bilion, lebih-lebih lagi ketika ekonomi terjejas akibat Covid-19 dan pembayaran dividen dari entiti kerajaan kerajaan diunjurkan rendah, kata penganalisis.
Penganalisis berkata jangkaan tersebut mungkin berdasarkan keyakinan kerajaan terhadap pemulihan ekonomi yang akan memberi pulangan hasil pendapatan cukai lebih tinggi.
Putrajaya menjangkakan hasil cukai tahun depan akan meningkat kepada RM174.37 bilion berbanding RM153.26 pada 2020. Daripada jumlah tersebut, RM131.87 bilion berupa cukai langsung, manakala cukai tidak langsung dijangka berjumlah RM42.5 bilion.
Bagaimanapun, hasil bukan cukai dijangka susut kepada RM62.53 bilion berbanding RM74.01 yang dijangkakan tahun ini.
Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan Sosioekonomi (SERC) Lee Heng Guie berkata kerajaan meletakkan jangkaan-jangkaan tersebut berdasarkan kepada pengangguran dan potongan gaji.
“Bagi saya agak pelik jika dilihat kepada jumlah pengangguran tahun ini, dan saya tidak fikir mereka yang menganggur akan cepat dapat kerja. Kerajaan pastinya beranggapan dapat mewujudkan 500,000 pekerjaan tahun depan menerusi Jana Kerja. katanya kepada The Malaysian Insight.
“Ini sasaran kerajaan, tetapi kita perlu melihat sama ada mereka akan mencapainya (atau tidak),” katanya kepada The Malaysian Insight.
Kerajaan menganggarkan kutipan cukai peribadi bagi 2021 dijangka berjumlah RM42.44 bilion (RM35.90 bilion pada 2020), manakala cukai korporat dijangka meningkat kepada RM64.69 bilion (RM59.38 bilion pada 2020).
Lee bagaimanapun berkata kerajaan mungkin bergantung kepada cukai tidak langsung seperti Cukai Jualan dan Perkhidmatan untuk mencapai sasaran hasilnya.
“Kerajaan menjangkakan perbelanjaaan pengguna akan mendorong pemulihan ekonomi menerusi bantuan yang disalurkan dalam Belanjawan 2021.
“Rakyat akan berbelanja lebih apabila caruman KWSP dikurangkan, diikuti dengan Bantuan Prihatin Rakyat. Kerajaan berharap ini akan meningkatkan penggunaan dan kutipan cukai jualan.
“Cukai jualan akan bergantung kepada sektor perhotelan dan pelancongan,” jelasnya, sambil menambah perhotelan antara sektor paling teruk terjejas akibat pandemik Covid-19.

Menurut Lee, pengalaman lepas juga menunjukkan kutipan hasil kerajaan sebenarnya lebih rendah dari jangkaan yang dibentang dalam belanjawan.
Beliau turut menarik perhatian hasil bukan cukai yang dijangkakan oleh kerajaan melalui pembayaran dividen lebih rendah oleh Petronas dan Khazanah Nasional Bhd.
Pembayaran dividen dari Petronas diunjurkan menyusut kepada RM18 bilion tahun depan.
Begitu juga dividen dari Khazanah bagi 2021 yang diunjurkan menyusut kepada separuh daripada RM2 bilion yang dijangkakan tahun ini.
Kerajaan juga menjangkakan hasil lebih tinggi melalui pelaburan di dalam dan luar negara, menurut Laporan Tinjauan Fiskal 2021.
Hasil kutipan cukai dari luar negara diunjurkan RM12.80 bilion bagi 2020, dan dijangka meningkat dua kali ganda kepada RM36.77 bilion pada 2021.
Kutipan penalti
Putrajaya juga menjangkakan memperoleh hasil pendapatan lebih tinggi menerusi kutipan denda dan penalti, yang dijangka meningkat dari RM1.01 bilion kepada RM1.36 bilion.
Rakan pengurusan K-Konsult Taxation Sdn Bhd Koong Lin Loong bagaimanapun berkata jangkaan hasil pendapatan kerajaan mungkin akan tersasar.
Unjuran ke atas cukai langsung, yang merangkumi pendapatan, korporat dan cukai petroleum, terlalu tinggi memandangkan perniagaan kini sedang melalui proses pemulihan dan masih banyak lagi yang bergelut ketika ekonomi tidak menentu, katanya.
Malah kerugian yang dialami tidak memungkinkan perniagaan mampu membayar cukai.
Koong, yang juga pakar percukaian, berkata penemuan vaksin Covid-19 juga akan beri kesan dalam usaha memenusi sasaran kerajaan itu.
“Saya berpendapat unjuran ini terlalu mencabar. Pada 2017, cukai langsung hanya 53% daripada hasil pendapatan, dan 56% pada 2018.
“Kemudian menyusut kepada 51% pada 2020 berikutan keadaan ekonomi global yang mencabar, dan diunjurkan lebih rendah kepada 50% pada 2020.
“Apa yang membuatkan kerajaan berfikir unjuran akan naik kepada 55.7% pada 2021? Ini peningkatan sebanyak 5%. Saya rasa ini sangat mencabar,” katanya. – 9 November, 2020.
Komen