KKM kesan 2 kluster baharu


Ravin Palanisamy

Dua kluster juga berakhir hari ini iaitu kluster Putra di Sarawak dan kluster Kuarters yang melibatkan daerah Tongod, Telupid dan Kinabatangan di Sabah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 November, 2020.

KEMENTERIAN Kesihatan mengesan dua kluster baharu Covid-19 hari ini dengan kedua-duanya dilaporkan di semenanjung, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Kluster pertama dikesan merupakan kluster Ikhtisas yang melibatkan daerah Petaling dan Klang di Selangor, daerah Jeli di Kelantan dan daerah Seremban di Negeri Sembilan.

Seramai 362 individu dari kluster ini telah menjalani ujian saringan dan 22 daripadanya dikesan positif, 213 negatif dan 127 menunggu keputusan ujian.

Dr Noor Hisham berkata indeks kluster ini – Kes 33,122 – dikesan positif semasa ujian saringan prapembedahan pada 29 Oktober dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Beliau berkata 21 kontak rapat kes indeks dikesan positif Covid-19.

Kluster kedua pula dikenali sebagai kluster Berendam yang melibatkan daerah Alor Gajah dan Melaka Tengah di Melaka.

Setakat tengah hari hari ini, seramai 1,861 menjalani ujian saringan dengan lapan dikesan positif, 109 bebas Covid-19 dan 1,744 menunggu keputusan.

Dua kluster juga berakhir hari ini iaitu kluster Putra di Sarawak dan kluster Kuarters yang melibatkan daerah Tongod, Telupid dan Kinabatangan di Sabah.

Bagi Kluster Putra, sebanyak lima kes positif dikesan hasil ujian saringan terhadap 190 orang.
 
Manakala kluster Kuarters, sembilan kes positif direkodkan daripada ujian saringan terhadap 1,432 individu.

Tiada kematian dicatatkan daripada kedua-dua kluster tersebut. – 8 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen