MALAYSIA berharap dapat mengukuhkan kerjasama dengan Amerika Syarikat, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin ketika mengucapkan tahniah kepada Joe Biden atas pemilihannya sebagai presiden Amerika Syarikat yang baharu.
Perdana menteri dalam satu kenyataan berkata, sebagai negara membangun Malaysia melihat kepentingan hubungan dengan Amerika Syarikat.
“Malaysia berharap dapat mengukuhkan lagi kerjasama dengan Amerika Syarikat di bawah kepimpinan Presiden Joe Biden ketika masyarakat antarabangsa berusaha menangani cabaran global, termasuk kesan buruk dari pandemik Covid-19.
“Saya doakan presiden yang dipilih, Joe Biden berjaya dalam menjalankan tanggungjawab sebagai presiden dan berharap untuk bertemu dengannya secara peribadi jika ada kesempatan,” katanya dalam kenyataan itu.
Media AS melaporkan keputusan pilihan raya presiden memihak kepada Biden malam tadi.
CNN, NBC News dan CBS News melaporkan kemenangan memihak kepada Demokrat sebelum pukul 11.30 pagi, selepas mendahului di Pennsylvania sekaligus menewaskan pencabarnya dari Republikan Donald Trump.
Trump bagaimanapun tidak memberi reaksi langsung terhadap pengumuman itu, tetapi ketika undian mula memihak kepada Biden, presiden Republikan itu membidas dengan dakwaan berlaku penipuan serta mendakwa beliau telah menang.
Sementara itu, Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim ketika mengucapkan tahniah kepada Biden berkata, rakyat Amerika memilih perpaduan berbanding perkauman dan kerajaan yang komited dengan keamanan, mempertahankan hak asasi manusia dan alam sekitar.
“Malaysia dan Amerika Syarikat mempunyai sejarah panjang dalam hubungan perdagangan dan dua hala dan saya sangat berharap agar hubungan ini diperkukuhkan lagi,” katanya menerusi Twitter. – 8 November, 2020.
Komen