TIMBALAN Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mendakwa beliau sememangnya seorang sasaran mudah untuk diserang di media sosial.
Sebab itulah beliau tidak terlalu memikirkan serangan tersebut, termasuk dari bekas perdana menteri Najib Razak, katanya dalam wawancara dengan The Malaysian Insight.
Wan Ahmad Fayhsal yang baru dilantik menjadi ketua Pemuda Bersatu juga berkata beliau tidak mahu hal itu mengganggu tugas sebagai timbalan menteri dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
“Saya amat menghormati Najib sebagai bekas perdana menteri tapi saya ambil pendekatan tak masuk campur dengan sebarang provokasi yang beliau utarakan dalam media sosial.
“Walau bagaimanapun saya sedar sebagai ketua Pemuda saya menjadi sasaran mudah kepada pengkritik kerajaan PN sama ada dalam atau di luar kerajaan,” katanya.
Wan Fayhsal mula meraih kontroversi apabila menyokong Dr Mahathir Mohamad sewaktu Langkah Seheraton, dan kemudiannya beralih menyokong kem Muhyiddin Yassin seminggu kemudian.
Baru-baru ini beliau diselar pula di media sosial kerana tidak lagi menyokong bekas ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas dilantik menjadi timbalan menteri.
Beliau juga sering diselar kerana selalu menggunakan jargon dalam kenyataannya, sehingga meraih gelaran di kalangan pengguna Twitter.
Beliau seterusnya menjadi sasaran Najib kerana mempertahankan Bersatu apabila bekas perdana menteri itu membangkitkan mengenai layanan yang diterima Umno dalam PN.
Ketika menjawab kritikan itu, Wan Fayhsal berkata Najib sememangnya wajar didakwa atas skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Katanya, Bersatu tidak pernah menyokong penyelewengan tersebut walaupun bersekutu dengan Umno.
“Di peringkat Bersatu kami tak pernah menyokong dan meredai sama sekali skandal 1MDB, kita tak pernah keluar sebarang kenyataan menyokong apa-apa perkara yang telah berlaku.
“Malah kami rasa lega hukuman mahkamah diumumkan dan drama ini hampir tamat dari segi mencari siapa sebenarnya bersalah dan kita serah sepenuhnya hal ini kepada proses perundangan negara,” katanya.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29 Julai mendapati Najib bersalah pada 29 Julai atas semua tujuh tuduhan jenayah yang dikemukakan ke atas bekas presiden Umno itu.
Ia membabitkan tiga tuduhan pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu tuduhan penyalahgunaan kuasa – kerana menyalahgunakan kuasa secara haram menerima dana RM42 juta.
Ahli Parlimen Pekan itu dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas tujuh tuduhan. Beliau akan dikenakan hukuman penjara lima tahun lagi jika gagal membayarnya.
Wan Fayhsal menambah, kes Najib akan menjadi pengajaran yang serius kepada ahli politik lain sekiranya mahu terlibat dalam penyewelengan dana awam di masa depan.
“Biarlah kes ini menjadi igauan mimpi ngeri dan menjadi tauladan kepada semua pemimpin Melayu yang ada dalam negara melihat betapa bahayanya bila tidak ada akauntabiliti,” katanya.
Katanya lagi kerjasama dengan Umno dalam PN tidak menjadi masalah kerana sebagai parti dalam kerajaan fokus utama ialah berkhidmat kepada rakyat ketika negara dilanda pandemik Covid-19.
“Saya rasa pandangan ‘guilty by association’ ini kerana kita tidak berpihak di mana-mana. Ini muafakat yang kita terima. Sekarang ini kita fokus apa terbaik kepada rakyat,” katanya.
Wan Fayhsal juga banyak menimbulkan kontroversi di media sosial sehingga meraih serangan di kalangan pengguna Twitter kerana sering mengubah pendirian dan dasar.
Pemimpin berusia 38 tahun itu mengulangi bahawa serangan politik adalah perkara lumrah baginya namun ia tidak akan sesekali mengganggu tugasnya untuk berkhidmat kepada rakyat.
“Sebagai ahli politik saya kena hadap dan kena buktikan dengan perbuatan kita.
“Sama ada kita benar membela rakyat atau sebaliknya saya tak ambil perhatian sangat (kritikan) kerana fokus dengan kerja saya,” katanya. – 8 November, 2020.
Komen