Hukum ibu bapa gagal disiplinkan anak, kata aktivis


Diyana Ibrahim

Ibu bapa yang gagal mendidik anak sehingga tidak berdisiplin wajar dihukum mengikut undang-undang khas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Disember, 2017.

IBU bapa yang gagal mendidik anak sehingga tidak berdisiplin wajar dihukum mengikut undang-undang khas, kata beberapa pertubuhan ibu bapa.

Mereka membuat gesaan itu susulan kes seorang guru di Negeri Sembilan yang dihadapkan ke mahkamah kerana dikatakan mengambil tindakan disiplin ke atas seorang murid.

Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan Malaysia (PAGE) berpendapat sudah sampai masanya Malaysia ada undang-undang khusus untuk menghukum atau mendenda ibu bapa yang tidak bertanggungjawab dalam mendidik anak sendiri.

“Perlu ada undang-undang untuk menghukum ibu bapa yang tidak bertanggungjawab dan gagal menjalankan tugas mereka sebagai ibu bapa,” kata Pengerusi PAGE Noor Azimah Abdul Rahim yang dihubungi The Malaysian Insight.

Azimah mengulas kes Azizan Manap, atau Cikgu Azizan, seorang guru penolong kanan hal ehwal murid sebuah sekolah di Negeri Sembilan, yang akan dibicarakan di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas tuduhan sengaja mencederakan anak muridnya.

Sementara itu, sebuah lagi badan masyarakat Mimbar Permuafakatan Ibu Bapa Malaysia (Mapim) senada dengan PAGE meletakkan tanggungjawab disiplin anak pada ibu bapa.

“Ibu bapa yang menjaga dan mendidik anak mesti dikenakan hukuman setimpal kerana gagal mendidik,” kata presidennya, Aziz Ujang.

“Kita tidak boleh melihat kepentingan hanya seorang pelajar, kena lihat implikasi dan impaknya yang akan menjadi wabak gejala sosial dalam masyarakat.”

Pengerusi PAGE Noor Azimah Abdul Rahim berkata undang-undang perlu ada untuk menghukum ibu bapa yang tidak bertanggungjawab dan gagal menjalankan tugas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Disember, 2017.

Kes Cikgu Azizan hangat apabila Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) menyeru guru supaya hadir ke mahkamah di Seremban hari ini untuk memberikan sokongan moral kepada guru itu.

Dianggarkan kira-kira 300 guru, ibu bapa dan masyarakat setempat akan hadir untuk menyatakan solidariti.

Kes Azizan turut mendapat perhatian pengguna media sosial yang menulis pelbagai komen dengan tanda pagar #PrayForCikguAzizan dan #AnakkuSazaliTidakAkanBerulang, merujuk kepada filem popular P. Ramlee bertajuk “Anakku Sazali” yang mengangkat tema pendidikan anak.

Pada masa sama, ia membangkitkan semula perbahasan tentang kewajaran hukuman keras di sekolah.

Azimah berkata hukuman pukul ke atas pelajar tidak wajar kerana ada banyak lagi langkah berkesan dan efektif untuk mengajar anak, selain ia tertakluk kepada piawaian operasi sebelum boleh dilaksanakan.

“Adakah tampar salah satu dari SOP atau kerana cikgu tidak boleh mengawal emosi. Guru harus menerima padahnya jika tidak menurut SOP,” katanya.

Sementara itu, Aziz yang berbeza pandangan dengan Azimah berkata hukuman pukul perlu terutama untuk mengawal pelajar bermasalah dan guru tidak harus dihalang daripada mengenakan hukuman keras ke atas pelajar.

“Tapi hukuman itu biar bersesuaian dan tidak boleh mengikut perasaan yang dikhuatiri akan mencederakan pelajar.”

Ada persatuan guru berpendapat pelajar bermasalah tidak boleh dihukum buang sekolah, sebaliknya dihantar ke pusat latihan pendidikan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Disember, 2017.

Namun beliau tidak bersetuju jika pelajar bermasalah dihukum buang sekolah kerana ia tidak menyelesaikan masalah.

“Perlu difikirkan kaedah lebih sesuai. Mungkin pelajar tersebut perlu dihantar pusat latihan pendidikan mengikut keperluannya seperti sukan kemahiran, sukan lasak ketenteraan, polis atau sebagainya.”

Ikatan Guru-guru Islam Malaysia (I Guru) sebelum itu dalam satu kenyataan meminta ibu bapa yang tidak puas hati dengan tindakan guru berbincang terlebih dulu dengan pihak sekolah, dan bukannya terus membawa perkara tersebut ke mahkamah.

Presidennya, Mohd Azizee Hasan berkata tindakan terburu-buru ibu bapa mengambil tindakan perundangan akan memberi kesan negatif kepada semua pihak terlibat termasuk ibu bapa, guru dan pelajar itu sendiri. – 19 Disember, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen