PENUBUHAN Majlis Pekerjaan Negara akan memfokuskan kepada usaha untuk mewujudkan hampir 500,000 peluang pekerjaan baharu selain menangani isu pengangguran dalam kalangan rakyat, kata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin.
Menurutnya, majlis itu akan turut melibatkan sektor swasta dan golongan mahir bagi membantu kerajaan selain memberikan pandangan tentang langkah yang diperlukan bagi mencapai hasrat menyediakan pekerjaan kepada rakyat.
“Antara yang menjadi perhatian atau kebimbangan rakyat ketika ini adalah isu pekerjaan sama ada mereka kekal terus dengan pekerjaan, diberhentikan atau tiada kerja.
Sehubungan itu, ini merupakan satu langkah ke hadapan supaya masalah pengangguran dapat kita uruskan termasuk mereka yang di kalangan siswazah dan mereka yang telah tersedia dengan latihan ‘upskilling’ (peningkatan kemahiran) dan ‘reskilling’ (pemahiran semula) yang mana kita boleh latih semula supaya mereka disediakan dengan pekerjaan sesuai.
Sebab itu Kabinet memutuskan penubuhan Majlis Pekerjaan Negara. Di kebanyakan negara pun ada…kita ada juga tetapi agak terasing, ‘in silo’, banyak jawatankuasa dibentuk tetapi tidak menjurus kepada langkah menjana pekerjaan baharu,” katanya dalam rancangan bual bicara Agenda Awani malam ini.
Muhyiddin berkata pada masa ini, latihan pemahiran semula dan peningkatan kemahiran kepada sebahagian golongan yang tidak mempunyai pekerjaan telah dimulakan bagi membolehkan mereka menyesuaikan diri dengan pekerjaan yang akan dijana menerusi kegiatan ekonomi baharu.
Pada pembentangan Belanjawan 2021 semalam, kerajaan mengumumkan penubuhan Majlis Pekerjaan Negara yang akan dipengerusikan Muhyiddin dan majlis itu akan menyelaras pelbagai inisiatif merentas kementerian dan agensi bagi mewujudkan peluang pekerjaan, peningkatan kemahiran dan latihan pekerja.
Pada masa yang sama, Muhyiddin berkata pelbagai insentif turut diberikan kepada pelabur, baik dari dalam mahupun luar negara sekurang-kurang dalam tempoh dua tahun untuk menarik mereka menanam modal di negara ini dalam usaha kerajaan untuk mewujudkan lebih banyak peluang perkerjaan.
“Kita lihat dalam keadaan sekarang ini, bukan sahaja kumpulan B40 bertambah, tetapi golongan M40 juga semakin mengecil kerana dibuang kerja dan kehilangan pekerjaan.
Keadaan ini memerlukan kita menyediakan peluang pekerjaaan, menguruskan supaya jangan ada pekerja Malaysia dibuang kerja, sebab itu bantuan subsidi upah diberikan untuk bantu syarikat berhadapan dengan situasi sukar ini,” katanya. – Bernama, 7 November, 2020.
Komen