PM sedia jemput pembangkang hadir taklimat Covid-19, ekonomi


Alfian Z.M. Tahir

Perdana Menteri Muhyiddin Yassinu sedia membenarkan pembangkang untuk hadir pada sesi taklimat harian Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 November, 2020.

PERDANA Menteri Muhyiddin Yassin berkata beliau sedia menjemput pemimpin pembangkang untuk bekerjasama melangkaui Belanjawan 2021.

Dalam wawancara pertama bersama Astro Awani sejak menjadi perdana menteri pada Februari, Muhyiddin berkata beliau sedia membenarkan pembangkang untuk hadir pada sesi taklimat harian Covid-19.

Selain itu beliau juga sedia berbuat demikian untuk mesyuarat majlis tindakan ekonomi yang dipengerusikannya.

“Saya mahu tindakan inklusif. Saya mahu pembangkang terlibat dalam majlis tindakan ekonomi yang saya sendiri pengerusikan atau dalam sesi taklimat harian Covid-19.

“Ini bukan soal memberi kredit kepada mereka tetapi saya mahu mendengar cadangan daripada pembangkang dan mungkin mereka boleh memberi idea bagus untuk kebaikan rakyat,” kata Ahli Parlimen Pagoh itu.

Ditanya sama ada tindakan itu akan melanjutkan kerjasama politik, presiden Bersatu itu berkata beliau tidak mahu membuat sebarang ramalan.

Sebelum itu, Muhyiddin ditanya mengenai Belanjawan 2021 yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz semalam.

Muhyiddin juga disoal tentang kenyataan pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim bahawa belanjawan kali ini kurang rangsangan ekonomi.

“Jika dilihat pada belanjawan, insentif, potongan cukai, bantuan untuk rakyat dan perniagaan, semuanya usaha yang baik untuk memulihkan ekonomi terutamanya pada waktu ini,” kata Muhyiddin.  – 7 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen