PENINGKATAN kes Covid-19 disebabkan ujian saringan yang dijalankan di penjara dan pusat tahanan imigresen di seluruh negara, kata Dr Noor Hisham Abdullah.
Ketua pengarah kesihatan berkata hal ini menyebabkan jumlah kes memuncak pada 24 dan 26 Oktober.
Jumlah kes paling tinggi dicatatkan dengan empat digit buat kali pertama pada 24 Oktober lalu iaitu sebanyak 1,288 kes.
Dua hari kemudian, Malaysia merekodkan 1,240 kes.
Dr Noor Hisham berkata Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak boleh dianggap gagal kerana ia berjaya mengurangkan kadar kebolehjangkitan.
“Saya tidak melihatnya (PKPB) sebagai satu kegagalan.
“Kalau kita lihat dari permulaan gelombang ketiga dan dalam tempoh dua minggu (PKPB dilaksanakan), langkah itu telah berjaya kurangkan kadar kebolehjangkitan daripada 2.2 kepada 1,” katanya pada sidang media harian di Putrajaya hari ini.
Dr Noor Hisham berkata kaedah PKPB dilaksanakan ketika ini bagi mengimbangi sektor kesihatan dan ekonomi, namun pada masa sama kerajaan perlu memperketatkan lagi sektor sosial termasuk kawalan rentas sempadan negeri dan daerah.
“Cabaran kita ialah dalam kita mengawal dan memperketat sektor sosial iaitu kita lihat dua tiga hari lepas ramai yang rentas daerah dan sempadan negeri, dari zon merah ke zon hijau.
“Kita membenarkan sektor ekonomi dengan lebih memperketatkan lagi sektor sosial, pelajaran dan sukan. Mungkin kita perlu memperhalusi tindakan kita supaya KKM dapat menjalankan aktiviti kesihatan awam, saringan komuniti dan sebagainya,” katanya.
Hari ini, Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob mengumumkan PKPB akan dilaksanakan di semua negeri di Semenanjung kecuali Pahang, Perlis dan Kelantan, berkuat kuasa selama empat minggu bermula 9 Nov hingga 6 Dis depan. – 7 November, 2020.
Komen