Putrajaya kuat kuasa PKPD di 5 kawasan di Perak, Sarawak, Sabah


Alfian Z.M. Tahir

Seorang anggota ATM bertugas mengawal kawasan yang dikenakan PKPD di Sabah. Setakat ini, lebih 10 lokasi di seluruh negara termasuk penjara dan pusat tahanan dikenakan PKPD susulan peningkatan kes Covid-19. – Gambar fail The Malaysian Insight, 7 November, 2020.

PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di lima kawasan di Perak, Sabah dan Kuching selama dua minggu, kata Ismail Sabri Yaakob.

Menteri kanan itu berkata kawasan terbabit adalah  Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Maahad Al-Yahyawiah di Padang Rengas dan Kuala Kangsar, Perak; Wisma Saberkas dan Jalan Greenhill di Kuching, Sarawak; dan Kg. Sabah Baru di Lahad Datu, Sabah.

Beliau berkata keputusan itu dibuat selepas mengadakan mesyuarat khas dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) di Putrajaya awal hari ini.

“Bagi sekolah agama di Kuala Kangsar, terdapat 27 kes positif Covid-19 dan susulan nasihat daripada Kementerian Kesihatan, kita bersetuju mengenakan PKPD di sekolah itu selama dua minggu bermula 8 November sehingga 21 November.

“Dua lagi kawasan di Kuching melibatkan 116 kes Covid-19 dengan enam kluster aktif di Sarawak.

“Oleh itu, kita mengenakan PKPD di dua kawasan terbabit bermula 8 November hingga 21 November.

“Manakala di Lahad Datu, Sabah, KKM telah mengesan 52 kes positif hasil ujian saringan ke atas 441 individu.

“PKPD akan dikuatkuasakan bermula 9 November hingga 22 November dengan melibatkan 701 buah rumah dan 3,917 penduduk,” kata Ismail Sabri.

Setakat ini, lebih 10 lokasi di seluruh negara termasuk penjara dan pusat tahanan dikenakan PKPD susulan peningkatan kes Covid-19.

Di bawah PKPD, penduduk tidak dibenarkan keluar rumah kecuali atas urusan kecemasan.

Kerajaan negeri dengan bantuan kerajaan persekutuan akan membantu menyediakan keperluan asas kepada penduduk yang terlibat. – 7 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen