Wajib tangkap PATI untuk bendung Covid-19, kata komander


Alfian Z.M. Tahir

Laksamana Madya Aris Adi Tan Abdullah menangkis dakwaan aktivis dan kumupulan masyarakat sivil dengan mempertahankan kepentingan kesihatan dan keselamatan negara lebih penting bagi mengekang penyebaran Covid-19. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 7 November, 2020.

LEBIH 8,000 Pendatang Tanpa Izin (PATI) dari 56 negara telah ditahan antara bulan Mei dan November tahun ini dalam usaha untuk mengekang penyebaran pandemik Covid-19, kata Komander Pasukan Petugas Kebangsaan (NTF), Laksamana Madya Aris Adi Tan Abdullah.

Aris memberitahu The Malaysian Insight, Putrajaya telah dikritik hebat setelah membuat operasi penangkapan PATI termasuk kaum wanita dan kanak-kanak.

Beliau berkata kritikan ini sebagai “tidak adil” kerana kerajaan sangat mementingkan keselamatan dan kesihatan rakyat.

Banyak aktivis dan kumpulan masyarakat sivil lantang bersuara apabila NTF membuat serbuan di apartment kos rendah dan sederhana di Jalan Masjid India dan Selayang Baru di Kuala Lumpur selain Petaling Jaya di Selangor yang membawa kepada penangkapan PATI termasuklah kaum wanita dan kanak-kanak.

Mereka mendakwa serbuan itu sebagai tidak berperikemanusiaan memandangkan PATI juga mendapat kesan dari pandemik Covid-19.

Operasi dikenali sebagai Op Benteng itu diwujudkan untuk membendung PATI yang mungkin terjangkit dengan Covid-19 dari memasuki negara ini.

NTF ditubuhkan pada 12 Mei, 2020, meliputi beberapa agensi keselamatan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Objektif utama untuk menghentikan kemasukan PATI dan mengurangkan jumlah jangkitan Covid-19.

“Kita tidak menahan mereka sebab tak ada dokumen, kita mahu hentikan penyebaran virus ini. Kita perlu tekankan di sini bahawa semua penangkapan adalah berdasarkan isu keselamatan,” katanya.

Antara Mei sehingga 4 November, NTF telah menahan 8,031 individu yang mana majoriti berasal dari Indonesia (3,699), Myanmar (1,047), Bangladesh (587), China (667), Rohingya (319) dan Filipina (339).

Turut ditahan pendatang dari negara Timur Tengah seperti Yaman, Sudan, Libya, dan Iran selain warga Eropah yang datang dari United Kingdom (tujuh), Sepanyol (satu), Itali (satu) dan tujuh lagi dari Amerika Syarikat.

Aris berkata hanya 281 yang ditahan telah dihantar pulang sementara bakinya masih ditahan di pusat tahanan imigresen.

Katanya setakat 4 November, seramai 7,924 PATI telah disaring dan daripada jumlah itu 12 orang telah didapati positif Covid-19.

“Kita dapat tahu tentang kes jangkitan di pusat tahanan. Sebab itu kita telah ketatkan sempadan supaya PATI tidak boleh masuk,” katanya.

“Kita tak tahu status kesihatan mereka sebab mereka masuk guna lorong tikus. Mereka telah diasingkan secepat mungkin tapi masih ada kemungkinan mereka telah menjangkiti orang lain sebelum ditahan,” tambah Aris.

Mereka lebih suka PATI sebab boleh bagi gaji yang rendah tapi itu sangat tidak bertanggungjawab sebab mereka menjejaskan keselamatan kita, kata Aris. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 7 November, 2020.

Petualang tempatan di sebalik penyeludupan manusia

Aris turut berkata sejak Op benteng dilancarkan, NTF telah menahan lebih 700 bot yang bertanggungjawab membawa masuk PATI ke dalam negara ini.

“Kami menahan 779 bot dan apa yang menyedihkan, hampir semua pengemudi bot ini adalah rakyat Malaysia sendiri. Daripada 779, 449 adalah orang kita,” katanya, menambah pihak berkuasa harus mengambil tindakan keras kepada mereka ini.

Polis setakat ini telah menumpaskan tiga sindiket penyeludupan manusia yang membawa masuk PATI ke dalam negara ini.

Tiga sindiket terbesar adalah Geng Otong di Johor, Geng Halim di Perak dan Husen Maungdaw di Pulau Pinang.

“Kita juga telah kenal pasti beberapa sindiket tempatan yang cuba membawa masuk beberapa individu ke dalam Malaysia. Tak lama saja lagi kita akan buat tangkapan.”

Permintaan tinggi PATI

Aris, yang telah berkhidmat lebih 40 tahun dalam angkatan tentera laut berkata, permintaan PATI oleh sektor perniagaan tempatan juga menyumbang kepada peningkatan tangkapan.

Jelasnya, situasi ini adalah sebahagian daripada “faktor tolak-tarik” yang juga berlaku di seluruh dunia.

“Oleh kerana adanya pandemik ini, banyak perniagaan telah dipaksa tutup dan sekaligus mengganggu sektor lain. Ramai rakyat kehilangan kerja. Ini menambahkan lagi beban kepada mereka untuk bertahan.

“Terdapat “faktor penolakan” daripada PATI yang mahukan kualiti hidup yang lebih baik dan “faktor penarikan” daripada beberapa syarikat atau majikan yang mahukan buruh murah.

“Mereka lebih suka PATI sebab boleh bagi gaji yang rendah tapi itu sangat tidak bertanggungjawab sebab mereka menjejaskan keselamatan kita,” kata Aris. – 7 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen