Belanjawan cipta ‘feel-good factor’ untuk Perikatan


Ragananthini Vethasalam

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz menyerahkan Belanjawan 2021 kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin selepas pembentangan di Parlimen semalam. – Gambar EPA, 7 November, 2020.

BELANJAWAN pertama kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dibentangkan dalam keadaan negara berdepan krisis ekonomi merudum dan pandemik Covid-19, bakal tercatat dalam sejarah sebagai pelan perbelanjaan tahunan terbesar kerajaan, setakat ini.

Belanjawan 2021 sebanyak RM322.5 bilion, dibentangkan oleh Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, mengatasi Belanjawan 2019 kerajaan Pakatan Harapan yang menyaksikan rekod peruntukan tertinggi RM314.5 bilion.

Perbelanjaan operasi yang kebanyakannya untuk emolumen, bayaran perkhidmatan hutang selain perbekalan dan perkhidmatan, dijangka menelan RM236.5 bilion.

Perbelanjaan pembangunan, yang diperuntukkan RM69 bilion, akan dibelanjakan untuk sektor sosial, projek infrastruktur dan antara lain bagi pendidikan dan latihan.

The Malaysian Insight menemu bual pakar ekonomi dan politik untuk melihat impak pelan perbelanjaan besar itu.

Pensyarah ekonomi Sunway University Business School Yeah Kim Leng berkata belanjawan itu termasuk peruntukan penting seperti, dana Covid-19 digandakan kepada RM65 bilion, meningkatkan peruntukan untuk bekalan perubatan dan peralatan selain memperuntukkan dana bagi vaksin sebaik saja ia siap.

“Walaupun bagi perniagaan dan isi rumah yang teruk terjejas akan mendapati bajet itu tidak mencukupi untuk mereka mendapatkan balik status pra pandemik, kepentingan belanjawan pengembangan ialah ia akan membantu mengukuhkan ekonomi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pakar ekonomi itu berkata keyakinan pengguna dan perniagaan dijangka akan bertambah baik selari dengan ramalan ekonomi yang meningkat dengan perbelanjaan kerajaan lebih tinggi.

Aktiviti yang disokong dengan perbelanjaan langsung kerajaan, insentif kewangan dan fiskal, seperti potongan cukai, mengurangkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, dan pelbagai inisiatif lain termasuk pemahiran semula dan peningkatan kemahiran akan mencipta lebih banyak pekerjaan dan memulihkan permintaan tenaga buruh, kata Yeah.

Beliau berkata pelaksanaan projek infrastruktur mega bersama projek pembinan kecil dan sederhana akan memberi asas lebih luas untuk pemain industri dan perniagaan yang bergantung pada projek kerajaan.

“Ini juga akan membawa kesan berganda selain akibat yang tidak disengajakan iaitu melobi, pilih kasih dan ketirisan, jika tidak diuruskan dengan betul,” katanya. – 7 November, 2020.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen