PROJEK Quranic Village yang akan dibangunkan Putrajaya dengan kos RM190 juta adalah tidak perlu dan ia pembaziran wang rakyat, terutama sekali ketika ekonomi negara terjejas teruk akibat pandemik Covid-19, kata arkitek.
Mereka berkata pembiayaan projek itu sepatutnya disalurkan kepada perumahan, pendidikan dan keperluan lain yang dapat memberi manfaat kepada rakyat Malaysia di semua peringkat, tanpa mengira agama dan latar belakang.
Projek Quranic Village bakal dibangunkan di pusat pentadbiran negara, Putrajaya, seperti diumumkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa pada 21 Julai.
Projek itu akan diuruskan bersama oleh pihak berkuasa tempatan Perbadanan Putrajaya dan Yayasan Restu, sementara pembiayaannya daripada wakaf Islam dan dana swasta.
Pembangunannya antara lain akan terdiri daripada sebuah masjid, pusat Sains Al-Quran dan Sirah, asrama dan ruang acara, pasar serta pusat seni yang dikhaskan untuk Malaysia, Kuwait, Iraq, Turki, Emiriyah Arab Bersatu dan Brunei.
Annuar berkata pembiayaan projek itu sudah diluluskan oleh Putrajaya.
Pensyarah seni bina Nazmi Anuar berkata seni bina dalam dunia moden sepatutnya selari dengan realiti sosial, bukannya projek megah yang berlebih-lebih.
“Zaman seni bina jadi ikon, projek mega dan projek megah, sudah berlalu.
“Seni bina dan penghasilan seni bina hari ini sepatutnya berhubung dengan realiti sosial, misalnya ketaksamaan dan gelandangan, kekurangan ruang awam mencukupi dan infrastruktur, selain realiti alam sekitar seperti pemanasan global dan perubahan iklim, pengurangan sumber semulajadi,” katanya.
Nazmi berkata seni bina tidak lagi dianggap sebagai satu pengisytiharan atau mewakili mana-mana cita-cita atau status eksklusif, terutama jika ia dibuat dalam “cara yang membazir”.
Beliau mempersoalkan keperluan projek itu dan dalam bahasa seni bina yang terpapar dalam cadangan pembangunan itu ialah “gabungan dan padanan gaya yang tidak serasi hanya digabungkan tanpa rasa komposisi”.
“Apa yang projek seperti Quranic Village ini cuba hendak tunjukkan? Bagaimana ia bermanfaat untuk semua rakyat Malaysia? Bagaimana ia mewakili Malaysia atau Islam? Bagaimana dengan nilai Islam dan kemanusiaan dan tidak membazir.
“Niatnya ialah membina rasa kebesaran, tetapi untuk siapa?,” kata Nazmi. – 7 November, 2020.
Berita penuh di sini.
Komen