CALON Demokrat Joe Biden semakin hampir melangkah ke White House, kali ini sebagai presiden, selepas mendahului Donald Trump di dua negeri penentu Pennsylvania dan Georgia.
Kemenangan di dua negeri itu akan memberikan Biden baki sekurang-kurangnya 6 lagi undi yang beliau perlukan untuk mencapai majoriti mudah 270 undi dalam persaingan ke White House.
Buat pertama kalinya selepas pengundian ditutup pada Selasa, Biden mengatasi Trump di Pennsylvania dengan lebih 5,500 undi terkumpul. Biden ketinggalan lebih 700,00 undi, sebelum undi pos dikira. Beberapa jam sebelum itu, beliau juga memintas Biden di Georgia dan kini di hadapan dengan lebih 1,000 undi.
Calon yang menang di Pennsylvania akan menambah 20 undi sementara Georgia pula memberikan 16 undi.
Majoriti media meletakkan Biden di hadapan dengan 264 undi terkumpul dari negeri-negeri sementara Trump 214 undi.
Sesetengah media bagaimanapun tidak memasukkan keputusan di Arizona yang mempunyai 11 undi untuk Biden kerana masih ada baki 10% undi belum selesai dikira.
Jurucakap kempen Trump bagaimanapun menegaskan persaingan ke White House masih belum berakhir.
Peguam bagi jentera kempennya Matt Morgan berkata unjuran yang dibuat oleh sesetengah media tersilap membuat unjuran bahawa Biden sudah menang.
“Unjuran yang salah itu berdasarkan pada keputusan di empat negeri yang belum muktamad,” katanya dalam satu kenyataan, seperti dipetik oleh The Guardian.
Morgan merujuk kepada dua negeri lagi iaitu Nevada dan Arizona, yang masing-masing mempunyai 6 dan 11 undi.
Beliau mendakwa ada beberapa salah laku pilihan raya, misalnya di Pennsylvania, termasuk dakwaan pihak pengurus pilihan raya tidak membenarkan pemerhati bagi jentera kempen Trump mengikuti proses pengundian.
Biden semalam memintas Trump di Michigan dan Wisconsin.
CNN dalam pada itu melaporkan Fox News, media yang selama ini mendukung Trump, juga sudah bersedia mengumumkan Biden menang tetapi tidak akan menyebutnya sebagai “presiden yang dipilih”.

Kemenangan di Pennsylvania dianggap satu kejayaan manis bagi Biden, lapor CNN, selepas bekas naib presiden kepada Barack Obama itu berkempen dengan mengangkat imej sebagai jurucakap kepada golongan kelas menengah dan pekerja di negeri-negeri barat tengah Amerika Syarikat.
Pada hari pengundian, Biden malah berkunjung ke kampung halamannya di Scranton dan singgah di rumah tempat beliau membesar.
Kemenangan Biden di Pennsylvania, apabila disahkan nanti, akan menjadikannya calon Demokrat pertama yang menang di negeri itu sejak Bill Clinton pada 1992.
Sementara itu, Trump dan sekutunya terus menggerak kempen mengelirukan rakyat dengan memfailkan tuntutan di mahkamah untuk menghentikan proses pengiraan undi.
Awal hari ini, Trump mendakwa beliau sepatutnya sudah menang pemilihan presiden Amerika Syarikat “dengan mudah” sekiranya dikira kertas undi “yang sah”. Trump bagaimanapun tidak mengemukakan sebarang bukti.
Kebanyakan saluran berita televisyen di Amerika pula memilih untuk menyampuk siaran ucapan Trump dan membuat penjelasan membetulkan kenyataannya ketika beliau berucap dari bilik sidang media di White House. – 6 November, 2020.
Komen