Kerajaan tak kompromi pastikan rakyat dilindungi, kata Muhyiddin


Pelbagai langkah yang digubal oleh kerajaan bukan sahaja bagi keselamatan dan kelangsungan hidup rakyat untuk hari ini. – Gambar fail the Malaysian Insight, 6 November, 2020.

KERAJAAN tidak akan berkompromi dalam soal memastikan rakyat dilindungi, dan ini jelas dilihat melalui peruntukan tertinggi untuk rakyat dalam Belanjawan 2021 berbanding belanjawan negara yang pernah dibentangkan sebelum ini, kata Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata kerajaan telah menggubal sebuah belanjawan yang berprinsip melindungi  rakyat dan perniagaan serta membantu mereka untuk melonjak kembali dan menjamin masa depan mereka yang lebih berdaya tahan dan lestari.

Muhyiddin berkata pelbagai langkah yang digubal bukan sahaja bagi keselamatan dan kelangsungan hidup rakyat untuk hari ini, tetapi juga untuk membantu rakyat membina sebuah masa depan yang lebih kukuh. 

“Belanjawan 2021 yang bernilai RM322.5 bilion yang baru dibentangkan di Parlimen pada hari ini adalah penzahiran konsep Prihatin Rakyat yang didukung teguh oleh kerajaan Perikatan Nasional. 

“Walaupun negara berada dalam situasi yang sukar dan mencabar, kebajikan rakyat tidak akan diabaikan sama sekali… ini merupakan tekad kerajaan dalam memastikan wabak Covid-19 ditangani dengan berkesan, bagi menjamin matlamat kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan serta ketahanan ekonomi,” katanya dalam kenyataan.

Muhyiddin berkata belanjawan itu juga mencerminkan hasrat dan keperluan rakyat serta perniagaan, yang dirangka hasil maklum balas daripada 6,000 respons yang diterima melalui pelbagai platform dan sesi libat urus. – Bernama, 6 November, 2020.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen