KEMENTERIAN Kesihatan mengenal pasti tiga lagi kluster baharu, dan mengumumkan tiga kluster tamat, kata Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.
Daripada tiga kluster terbabit, satu dikesan di Sabah, satu di Lembah Klang dan satu lagi di Perak.
Kluster di Sabah dinamakan Mampulut, yang melibatkan daerah Keningau.
Setakat tengah hari ini, 209 individu menjalani ujian saringan di kawasan ini dan 28 daripada mereka disahkan positif. Manakala 181 lagi disahkan negatif.
Kluster di Lembah Klang melibatkan daerah Petaling, Gombak dan Klang di Selangor dan Kepong di Kuala Lumpur. Kluster ini diberi nama Fores.
20 kes positif dilaporkan daripada 190 yang disaring dalam kluster ini, manakala 70 disahkan negatif. 100 lagi masih menunggu keputusan ujian.
Di Perak, kluster dikenali sebagai Rengas. Kluster ini melibatkan daerah Kuala Kangsar.
Daripada 290 ujian saringan yang dijalankan, sembilan disahkan positif manakala bakinya masih menunggu keputusan.
Sejumlah 57 kes dilaporkan daripada ketiga-tiga kluster ini.
Sementara itu, kluster yang tamat hari ini adalah Bah Lada, Atap dan Bah Sahabat.
Setakat hari ini, 56 individu menjalani ujian saringan dalam kluster Bah Lada di Sabah yang mana empat dikesan positif. Kadar positif dalam kluster ini adalah 7.14%.
Dalam kluster Atap di Perak, 48 individu disaring setakat 6 November dan empat disahkan positif. Kadar positif kluster ini adalah 8.33%.
Kluster Bah Sahabat merupakan kluster terakhir yang tamat hari ini. Setakat hari ini, 53 individu disaring dan 11 disahkan positif.
Kadar positif kuster Bah Sahabat adalah 20.75%.
Dr Noor Hisham berkata tiada kematia dilaporkan dalam ketiga-tiga kluster berkenaan.– 6 November, 2020.
Komen